top of page

Tiada perbincangan kurangkan kuota BUDI95 - Menteri Ekonomi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) mengesahkan kerajaan tidak membincangkan cadangan untuk mengurangkan kuota subsidi petrol RON95 menerusi program Budi MADANI (BUDI95) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).


Jelas beliau, kerajaan MADANI ketika ini memberi tumpuan untuk memastikan mekanisme subsidi sedia ada kekal berfungsi secara berkesan dalam melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup, terutama susulan ketidaktentuan harga pasaran global.


"Setakat ini tidak ada perbincangan mengenai apa-apa pengurangan kuota BUDI95.


"Kita sedang fokus kepada pelaksanaan dan penambahbaikan kaedah pengurusan subsidi supaya lebih bersasar dan mengurangkan ketirisan," katanya dipetik selepas menghadiri pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor di Asia School of Business, di Kuala Lumpur pada Khamis.


Sementara itu tambahnya, sebarang perubahan dasar berkaitan subsidi bahan api akan diumumkan secara rasmi selepas dimuktamadkan kerajaan.


"Bila keputusan dibuat, kita akan umum secara jelas. Buat masa ini, fokus adalah kepada pelaksanaan dan penambahbaikan sistem sedia ada.


"Kerajaan juga memberi tumpuan kepada langkah mitigasi termasuk penambahbaikan mekanisme subsidi diesel yang sedang dilaksanakan menerusi kaedah seperti BUDI," tambahnya.


Akmal turut menjelaskan pendekatan subsidi ketika ini perlu mengambil kira keseimbangan antara kebajikan rakyat dan kedudukan fiskal negara supaya kekal mampan, khususnya ketika berdepan tekanan harga tenaga global.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page