top of page

Tiada pencen, wujudkan skim persaraan lebih dinamik



Oleh: Helmi Mohd Foad


ANALISIS: Sejak dari awal tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan bahawa kerajaan MADANI pimpinannya akan memastikan skim gaji penjawat awam akan dikaji untuk dinaikkan.


Meskipun penjawat awam mewakili kira-kira 1.6 juta daripada pekerja di negara ini, sektor awam cukup penting bagi memastikan jentera kerajaan dapat berfungsi untuk melaksanakan semua dasar yang digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan.


Perdana Menteri sendiri memberikan jaminan bahawa kajian terhadap Skim Saraan Perkhidmatan Awam akan selesai dibuat menjelang hujung tahun ini.


Apabila bercakap soal kenaikan gaji atau sebarang penambahbaikan manfaat perkhidmatan, maka sudah tentu pencen menjadi topik penting. Terbaharu kerajaan mengumumkan melalui kajian skim tersebut, kakitangan baru dilantik selepas ini tidak akan lagi menikmati skim pencen sebagaimana kakitangan sedia ada.


Bagi tempoh sementara kakitangan lantikan baharu akan dilakukan secara kontrak sebelum mereka diletakkan dalam kategori pelantikan tetap selepas kajian semula skim berkenaan selesai.


Kenaikan gaji penjawat awam boleh dilaksanakan bergantung kepada kekuatan kewangan yang dimiliki pihak kerajaan dalam menangani perbelanjaan mengurus termasuk bayaran pencen.


RM31 bilion pencen, terlalu tinggi


Sebelum ini, seramai 32,000 pesara baharu direkodkan setiap tahun dengan kerajaan membelanjakan RM31 bilion bagi membayar pencen lebih 900,000 pesara. Daripada jumlah itu, 768,947 pesara termasuk penerima pencen terbitan di bawah Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).


Tanpa sebarang usaha dilakukan untuk menguruskan bayaran pencen, sudah pasti kerajaan berdepan masalah untuk menaikkan kadar gaji penjawat awam sedangkan ia cukup penting untuk memperkukuhkan prestasi dan produktiviti sektor awam.


Selain itu, kakitangan awam juga perlu berdepan dengan keadaan inflasi dan kenaikan kos sara hidup.


Persoalannya sekarang, mampukah kerajaan menguruskan fiskal negara jika menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda akan mencecah RM120 bilion setahun?


Bayangkan jumlah itu adalah hampir separuh daripada jumlah Belanjawan Tahunan pada masa ini.


Pada ketika ini setiap tahun sebanyak 31.5 peratus daripada perbelanjaan kerajaan Pusat diperuntukan untuk emolumen dan ia meningkat dari tahun ke tahun. Berdasarkan Belanjawan 2024, dianggarkan kerajaan akan berbelanja RM95.64 bilion untuk emolumen saja.


Kenaikan bayaran pencen akan memberikan bebanan jangka panjang kepada kerajaan khususnya KWAP apabila portfolionya besar kemungkinan tidak mampu untuk membuat pelaburan bagi memberikan dividen atau pulangan sepatutnya


Kenaikan pencen terbatas


Sejak skim pencen diperkenalkan pada tahun 1890-an, pelbagai penambahbaikan telah dibuat oleh pihak kerajaan tetapi tiada dasar kenaikan pencen sehingga pada tahun 1980 diadakan Akta Pencen.


Skim pencen dilindungi di bawah Perkara 147(1) Perlembagaan Persekutuan. Sebelum ini pencen diselaras apabila semakan gaji dibuat. Setelah tidak berlaku semakan, pada tahun 2012, kerajaan memberikan kenaikan 2 peratus setiap tahun sebelum dihentikan ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan, amaun pencen kembali kepada bayaran asal 2012 dan 2013.


Namun Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan menggantikannya dengan Penghargaan Khas Pesara Kepada Pesara (PKKP).


Jika sebelum ini, ketika kerajaan di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008, mereka mampu mengumumkan peruntukan RM9 bilion termasuk peruntukan tambahan RM1.3 bilion pada tahun 2009 bagi melaksanakan beberapa dasar baru skim pencen kakitangan awam.


Ketika itu jumlah pesara baru 590,000 orang pesara dan penerima pencen terbitan mendapat kenaikan hingga 71.4 peratus. Ia dilakukan selepas 28 tahun.


Bagaimana kerajaan melakukannya? Tidak lain tidak bukan ialah melalui kaedah memanjangkan tempoh pencen kepada 58 tahun pada ketika itu. Adakah kerajaan perlu melakukannya sekali lagi demi semata-mata untuk menaikkan gaji penjawat awam?


Sehingga kini, umur persaraan penjawat awam di negara ini sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh lebih 20 tahun. Kali pertama, had usia persaraan penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001.


Ini diikuti tujuh tahun kemudian, apabila usia persaraan dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun pada 2008 manakala empat tahun kemudian had usia persaraan sekali lagi mengalami perubahan daripada 58 tahun kepada 60 tahun pada 2012.


Setiap kali dilanjutkan tempoh persaraan, sudah tentu kerajaan mempunyai lebihan peruntukan untuk disalurkan kepada sebarang maafaat kepada kakitangan awam.


Selepas itu kerajaan tidak lagi meningkatkan tempoh persaraan meskipun pihak kesatuan sekerja ada mencadangkan supaya ia dinaikkan hingga ke umur 65 tahun.


Tidak menaikkan tempoh persaraan membolehkan lebih banyak jawatan kosong dalam kerajaan diwujudkan dan memberikan peluang kepada generasi baharu memasuki sektor awam.


Saiz perkhidmatan awam tidak boleh dikecilkan


Kerajaan tidak boleh bercakap soal dasar mengecilkan saiz perkhidmatan awam kerana ia sudah pasti bakal menjadi isu politik dengan penuh sentimen. Begitu juga apabila menyentuh soal kemudahan pencen, ia juga mengundang kecaman dan kritikan.


Pasa masa lalu, saiz penjawat awam dikurangkan melalui dasar penswastaan apabila banyak agensi kerajaan seperti Pejabat Pos dan Tenaga Nasional dan Telekom telah diswastakan.


Kerajaan tidak lagi terbeban dengan bayaran gaji dan pencen kakitangan agensi tersebut sebaliknya mereka menikmati kenaikan gaji lebih tinggi dan pelbagai manfaat perkhidmatan dan persaraan.


Sebagai kerajaan yang bertangungjawab, tidak selama-lamanya perlu dibebani dengan peningkatan kadar pencen setiap tahun tanpa ada usaha yang bersifat dinamik untuk memastikan sektor awam lebih kukuh pada masa akan datang.


Keputusan Kabinet agar pelantikan penjawat awam baharu berstatus tetap bermula 1 Februari ini adalah tidak berpencen namun mengekalkannya bagi kakitangan sedia ada adalah satu langkah menang-menang.


Penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerajaan memberikan sumbangan sebagaimana dinikmati pekerja swasta.


Bagi pihak kerajaan, sekarang adalah masa yang sesuai untuk membuat keputusan secara serius demi masa depan negara. Dakwaan bahawa kerajaan bakal menganiaya kakitangan awam adalah jauh tersasar. Kalau itu yang difikirkan mengapa mereka tidak mengambil kira nasib berjuta-juta lagi pekerja swasta yang tidak menerima pencen.


Malah syarikat swasta turut ada yang melalui tempoh sukar apabila mereka tidak mampu lagi membayar gratuiti kepada pesara mereka. Ini kerana bebanan kewangan makin melebar apabila berlaku pelarasan gaji.


Kesatuan sekerja turut berdepan tekanan untuk menerima penghapusan skim persaraan itu. Namun akhirnya ada yang terpaksa akur dengan konsep skim persaraan tunggal iaitu melalui KWSP.


KWSP skim persaraan lebih dinamik


KWSP boleh menjadi skim persaraan yang lebih dinamik apabila kerajaan memberikan pelarasan gaji yang lebih menarik secara berkala kepada penjawat awam untuk memastikan tabungan persaraan mereka meningkat selain pembayaran dividen yang kompetitif berbanding sektor perbankan.


Tanpa dibebankan lagi dengan kenaikan bayaran pencen, kerajaan turut boleh memberikan kadar kenaikan gaji tahunan yang lebih baik selain peningkatan caruman KWSP. Malah sebenarnya sekarang pun kadar kenaikan gaji tahunan sektor awam ada yang lebih tinggi berbanding swasta.


Jika sekarang caruman majikan pada kadar 12 peratus, kadar itu boleh ditingkatkan dengan penambahan hingga 6 hingga 9 peratus lagi sebagaimana dinikmati sesetengah syarikat swasta pada masa ini.


Kita yakin dengan peningkatan manfaat perkhidmatan termasuk gaji dan skim persaraan bagi kakitangan kerajaan, pemansuhan pencen tidak akan menyebabkan sektor awam tidak lagi diminati. Malah sektor itu akan menjadi lebih kompetitif dan produktif pada masa akan datang.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page