Peruntukan Khas Interim Sabah, tanda kasih sayang kepada rakyat - Nurul Izzah
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 2 min read

Rakyat Sabah yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada hujung tahun ini diingatkan keikhlasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu kehidupan mereka dengan meluluskan Peruntukan Khas Interim Sabah sebanyak RM600 juta pada tahun ini.
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, meluluskan peruntukan itu dan melunaskan hak hak wilayah Sabah dalam Perjanjian Malaysia (MA63) tidak pernah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan sebelumnya.
"MA63 dibuat, (letak) wakil (Sabah dalam) Lembaga Hasil (LHDN), gas ada wakil. Ini antara perinciannya. Satu kita boleh bercakap atas kertas, satu lagi pelaksanaan, buat kerja (sebagaimana sekarang).
"Bila diuruskan satu demi satu (manfaat kepada Sabah).... termasuk bayaran interim. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah. Di bawah Datuk Seri Anwar tahun lepas bayaran interim untuk rakyat Sabah RM300 juta.
"Kita memberi berdasarkan kasih sayang, penghormatan. Di tahun ini (pula) RM600 juta," katanya dalam majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama (BGU) dan Pelancaran Jentera DUN N.18 Inanam dan N.17 Darau, pagi tadi.
Oleh itu, jelas Nurul Izzah, selayaknya calon KEADILAN dinobatkan sebagai wakil rakyat pada PRN kelak bagi mewujudkan lebih banyak kebajikan buat penduduk DUN Inanam dan DUN Darau.
"Kita sudah buktikan dalam ruang kita perintah, di peringkat (kerajaan) negeri.
"(Oleh itu) anak anak Sabah berilah peluang lebih ramai suara KEADILAN agar dapat memastikan lebih banyak lagi kita berikan, lebih banyak manfaat dan lebih banyak (masalah) kita selesaikan," katanya.
Dalam pada itu, berkenaan kes Zara Qairina pula Nurul Izzah menghormati perjuangan rakyat Sabah untuk mendapatkan keadilan buat Allahyarhamah.
Katanya, orang Sabah telah berjaya membangkitkan kesedaran ke seluruh negara menentang budaya buli dan hal itu amat dihargai oleh golongan ibu bapa di seluruh negara.
"Kita lihat orang Sabah membangkitkan kesedaran seluruh Malaysia, bahawa kita harus jadikan bukan saja kesedaran menjadi manusia bertanggungjawab, tetapi lawan segala bentuk pembulian untuk mengharapkan keadilan.
"Ini pada saya mesej yang sangat istimewa. Sebagai ibu saya mahu sebut terima kasih kepada orang Sabah," katanya lagi yang sebelum ini berkunjung menemui ibu Allahyarhamah Zara dan menyatakan solidariti.
Selain itu, Nurul Izzah turut berjanji sekiranya KEADILAN menang banyak kerusi dan menjadi salah satu komponen penting dalam Kerajaan Negeri maka para wakil rakyat parti itu akan berusaha untuk memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan kepada anak muda agar mereka tidak perlu merantau ke Semenanjung untuk mencari kerja.