Kes rasuah Sabah: Hadapkan perasuah besar ke mahkamah - Danish
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 2 min read

Kes rasuah berhubung cari gali mineral di Sabah tidak wajar melindungi perasuah besar.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Danish Hairuddin (gambar) berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sewajarnya mengheret sesiapa sahaja yang menjadi perasuah besar termasuk 'pemberi maklumat' seperti Albert Tei ke muka pengadilan.
Menurut Dansih, Albert Tei sendiri mengakui bahawa beliau telah memberi rasuah dalam jumlah yang besar dan seterusnya membocorkan maklumat kepada SPRM sebagai bukti.
Danish mendakwa tindakan memberi rasuah secara besar itu, kemudian tampil sebagai ‘whistleblower’ bukanlah satu keberanian atau tindakan terpuji.
Apatah lagi, katanya, whistleblower itu mengkritik pula Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapan PM di Dewan Rakyat berhubung pendakwaan ke atas dua ADUN dan tidak mendakwa keseluruhan ADUN yang didedahkan oleh Albert Tei.
"Saya menegaskan bahawasanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar serta Kerajaan Perpaduan MADANI sentiasa konsisten menegakkan prinsip keadilan dan ketelusan.
"Malah, di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, tiada seorang pun yang kebal daripada tindakan undang-undang sama ada tokoh politik, pegawai kerajaan atau taikun korporat.
"Oleh itu, saya menuntut agar pihak berkuasa bertindak segera terhadap Albert Tei. Jangan hanya menjadikan beliau sebagai saksi (whistleblower), sedangkan beliau sendiri adalah pelaku utama jenayah rasuah," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Danish, rakyat tidak boleh diberi gambaran bahawa pemberi rasuah boleh bebas hanya kerana tampil membocorkan maklumat.
Prinsip reformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri, katanya, menuntut keadilan menyeluruh. Pemberi dan penerima rasuah mestilah sama-sama dihukum.
"Justeru saya menyeru rakyat untuk menolak sebarang cubaan menggugat integriti Kerajaan MADANI dengan memainkan isu sebegini untuk kepentingan politik pihak tertentu.
"Kita tidak boleh membiarkan individu yang jelas bersalah menunggang naratif “pembawa kebenaran” bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang," katanya lagi.
Tegas Danish, Kerajaan MADANI sedang berusaha memulihkan negara daripada kerosakan akibat rasuah lampau.
Justeru, komitmen Perdana Menteri dan pentadbiran beliau dalam memerangi rasuah perlu terus disokong. Rakyat, katanya, berhak melihat keadilan ditegakkan secara menyeluruh dan tiada ruang untuk mana-mana pihak mempermainkan sistem undang-undang.