Kerajaan proaktif lindungi rakyat dari impak krisis Asia Barat - KEADILAN Perlis
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Langkah segera yang diambil kerajaan bagi menangani kesan konflik geopolitik di Asia Barat menunjukkan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan seimbang antara diplomasi antarabangsa, pengurusan ekonomi berhemah dan perlindungan kebajikan rakyat.
Ketua Penerangan KEADILAN Perlis, Syazwan Fahmi Badrul Sham berkata tindakan tersebut menunjukkan negara ini bersikap proaktif dalam melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak dunia susulan konflik itu.
"Kenyataan Perdana Menteri jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan serantau, kestabilan ekonomi global serta kebajikan rakyat Malaysia yang mungkin terkesan akibat ketegangan yang semakin memuncak di rantau tersebut.
"Kami amat menghargai beberapa langkah dan pendirian penting yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan.
Semalam Perdana Menteri dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet menjelaskan kerajaan memberi jaminan bekalan minyak terkawal selain mengambil keputusan mengekalkan harga petrol bersubsidi pada kadar sedia ada RM1.99 seliter melalui program Budi95.
Syazwan berkata Perdana Menteri telah menyatakan pendirian tegas Malaysia yang mengecam serangan terhadap Iran serta usaha diplomasi aktif dengan menghubungi pemimpin negara-negara Teluk, Turki, Indonesia serta Menteri Luar Iran bagi mengurangkan ketegangan dan mengelakkan konflik ini merebak ke negara-negara jiran.
"Kerajaan memberikan jaminan bekalan petroleum negara berada dalam keadaan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026 hasil pengurusan cekap oleh Petronas dan kerajaan sekali gus memastikan kestabilan tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan global," ujarnya.
Selain itu, jelas Syazwan keputusan kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 Budi Madani pada paras RM1.99 seliter di tengah kadar harga minyak dunia meningkat secara mendadak akibat gangguan bekalan global membuktikan komitmen kerajaan Madani untuk melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga barang.
Tambahnya kerajaan turut memperkukuh tindakan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan bahan api yang berpotensi meningkat susulan perbezaan harga bahan bakar antara Malaysia dan negara jiran.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik penubuhan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri Kewangan II bagi memantau impak ekonomi konflik ini supaya kerajaan dapat mengambil langkah segera bagi melindungi kestabilan ekonomi negara.
Jelas beliau kerajaan juga menunjukkan kebertanggungjawaban fiskal apabila memutuskan semua agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini sebagai langkah berjimat cermat ekoran ketidaktentuan ekonomi global.
"Kami juga menghargai usaha Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar dalam membawa pulang rakyat Malaysia dari kawasan Asia Barat yang terjejas oleh konflik tersebut," katanya.
Justeru itu, Syazwan berkata pihaknya menyeru seluruh rakyat negara ini untuk terus memberikan sokongan kepada usaha kerajaan dalam memastikan negara kekal stabil, selamat dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar.
"Semoga Malaysia terus dilindungi dan dikurniakan kestabilan serta kemakmuran di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI," katanya lagi.




Comments