Tiada pemimpin, parti politik boleh jamin laluan ke syurga – Dr Zulkifli
- Suara Keadilan

- 41 minutes ago
- 2 min read

Tiada mana-mana individu, pemimpin atau wadah politik mempunyai autoriti untuk menjamin seseorang mendapat laluan ke syurga kerana penentuan syurga dan neraka adalah hak mutlak Allah SWT, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar).
Beliau berkata, dakwaan bahawa sokongan kepada organisasi atau parti politik tertentu menjadi syarat untuk memasuki syurga seolah-olah mempertikai hak Allah SWT selain bertentangan dengan teguran dalam Surah al-Baqarah ayat 111 terhadap sikap mendakwa syurga hanya milik kelompok sendiri.
"Penentuan syurga dan neraka adalah hak mutlak Allah SWT semata-mata, dan tiada mana-mana individu, pemimpin, atau wadah politik yang mempunyai autoriti untuk menjamin laluan ke syurga," katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut Dr Zulkifli, syarat utama untuk meraih keredaan dan rahmat Allah SWT ialah keimanan yang ikhlas, ketakwaan serta amalan soleh berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, bukannya keahlian atau sokongan kepada mana-mana parti politik.
Beliau berkata, sikap mendakwa sesebuah kumpulan pasti suci manakala kelompok lain terkeluar daripada rahmat Allah SWT merupakan bentuk memuji diri sendiri dan ghuluw atau sikap melampau yang dilarang dalam Islam.
Beliau turut menegaskan bahawa parti politik hanyalah wasilah atau alat kepada usaha manusia dan tidak terlepas daripada kelemahan serta perbezaan ijtihad.
"Parti politik hanyalah satu wasilah (alat atau perantara) usaha manusia yang tidak sunyi daripada kelemahan dan ijtihad, bukannya agama itu sendiri," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya berpolitik secara matang dan berakhlak dengan berteraskan prinsip keadilan serta kemaslahatan ummah, tanpa menggadaikan nilai akidah dan ukhuwah Islamiah.
"Berpolitiklah dengan matang dan berakhlak berasaskan keadilan serta kemaslahatan ummah, tanpa menggadaikan nilai akidah dan ukhuwah Islamiah," katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam ceramah Sambutan Jubli Intan 75 tahun Pas di Kota Bharu malam tadi berkata, seseorang memang akan dapat masuk syurga melalui perjuangan dibawa parti berkenaan.
Walaupun mengakui Pas ialah sekadar sebuah pertubuhan politik, beliau menegaskan wadah perjuangan mereka berteraskan Islam.
"Kalau kita mati kerana berjuang mempertahankan Islam, tidak ada syak lagi, kita akan dianggap mati syahid dan kita akan diberikan ganjaran pahala, dan kita akan masuk syurga.
"Jadi dia (pihak lawan) kata pula (menyindir), masuk Pas ni masuk syurga…Yalah, masuk Pas (dan) terima Islam, berjuang di atas landasan Islam, nakkan Islam sama ada di dunia ataupun di akhirat.
"Masuk Pas cara itu, insya-Allah kita boleh masuk syurga," katanya dipetik.




Comments