top of page

Tiada panggilan kecemasan sebelum nahas helikopter doktor udara - AAIB

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
3 hours ago
4 min read

Tiada panggilan kecemasan atau isyarat kecemasan direkodkan daripada helikopter doktor udara yang terhempas di Long Lellang, Sarawak dalam nahas mengorbankan lima nyawa pada 8 September lalu, demikian menurut laporan awal siasatan kemalangan udara.


Laporan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan turut mendedahkan helikopter tersebut tidak dilengkapi perakam data penerbangan (FDR) atau perakam suara kokpit (CVR) sekali gus menjadikan pemeriksaan fizikal bangkai, komponen enjin dan bukti lain penting dalam usaha menentukan punca kejadian.


Laporan itu turut mendedahkan helikopter itu tidak dilengkapi perakam data penerbangan (FDR) atau perakam suara kokpit (CVR) kerana kedua-dua peralatan itu tidak diwajibkan di bawah peraturan penerbangan berkaitan.


"Tiada panggilan kecemasan atau penghantaran isyarat kecemasan daripada helikopter direkodkan sepanjang sektor penerbangan dari waktu berlepas sehingga kemalangan berlaku," kata laporan berkenaan yang dikeluarkan semalam.


Ketika kejadian helikopter Bolkow BO105 S bernombor pendaftaran 9M-LLF yang dikendalikan Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd itu sedang menjalankan penerbangan berjadual Flying Doctor Service (FDS) dari Selungo ke STOLport Long Lellang membawa seorang juruterbang dan empat penumpang.


Lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) itu ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; penolong pegawai perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.


Identiti kesemua mangsa disahkan menerusi analisis DNA oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia.


Antara penemuan penting laporan itu ialah helikopter berkenaan disahkan layak terbang ketika dilepaskan untuk penerbangan selain mempunyai Sijil Pendaftaran dan Sijil Kelayakan Udara yang sah.


Juruterbang berusia 30 tahun itu juga memiliki lesen, kelayakan dan sijil perubatan yang sah untuk mengendalikan pesawat berkenaan.


Bagaimanapun, status layak terbang ketika berlepas itu tidak bermaksud punca nahas sudah dikenal pasti atau kemungkinan masalah teknikal telah diketepikan.


Asap, api di bahagian belakang kotak gear


Rekod penerbangan menunjukkan helikopter berlepas dari Miri pada pukul 10.24 pagi sebelum mendarat di Ba’Lai pada pukul 11.39 pagi kemudian meneruskan penerbangan ke Selungo dan tiba pada pukul 2.02 petang.


"Tiada kejadian luar biasa dikenal pasti bagi kedua-dua sektor penerbangan itu berdasarkan maklumat yang tersedia setakat ini," katanya.


Selepas mengisi minyak di Selungo, helikopter berlepas menuju ke Long Lellang dengan kedudukan terakhir direkodkan pada pukul 3.27 petang, kira-kira tiga batu nautika dari lapangan terbang tersebut.


"Rakaman video berdurasi 37 saat menunjukkan helikopter terbang dengan kesan asap dan api di sekitar bahagian belakang kotak gear utama sebelum menghampiri landasan.


"Helikopter kemudian ditemukan terbakar berhampiran ambang landasan dan musnah teruk akibat kebakaran," kata laporan itu.


Pemeriksaan awal menunjukkan bahawa helikopter itu musnah teruk akibat kebakaran dan kerosakan yang berkaitan dengan sentuhan darat, kataya.


"Serpihan kecil telah dikenal pasti di lokasi kemalangan dan telah ditemui dan diangkut ke Miri untuk pemeriksaan dan analisis lanjut.


"Penilaian terperinci terhadap kerosakan yang dialami oleh helikopter akan dijalankan, dan penemuannya akan dimasukkan ke dalam Laporan Akhir."


Dalam pada itu, AAIB masih meneliti sejarah penyelenggaraan helikopter, operasi penerbangan, prosedur operasi standard serta sistem pengurusan keselamatan pengendali, jelas laporan awal itu.


Menurut laporan itu, pemeriksaan terperinci terhadap komponen sistem kuasa yang masih ada telah dijalankan dengan perhatian khusus diberikan kepada sistem enjin dan komponen berkaitannya.


Keputusan analisis tersebut akan dimasukkan dalam laporan akhir manakala sebarang implikasi terhadap kelayakan udara enjin lain daripada jenis sama masih belum dipastikan.


Laporan itu turut mendapati keadaan cuaca di sekitar Long Lellang secara umumnya baik ketika tempoh berkaitan, dengan jarak penglihatan mendatar melebihi 10 kilometer.


Tiada amaran angin ricih atau amaran aerodrom dikeluarkan bagi tempoh yang dinilai manakala tiada amaran SIGMET atau AIRMET aktif dalam lingkungan 20 batu nautika dari STOLport berkenaan, kata laporan itu.


Penemuan itu bermakna maklumat meteorologi yang tersedia setakat ini tidak menunjukkan keadaan cuaca buruk sebagai ciri utama ketika nahas berlaku.


Bagaimanapun, laporan awal belum membuat kesimpulan mengenai punca kemalangan.


"Bangkai utama helikopter ditemukan kira-kira 25 meter dari tepi ambang landasan.


"Keadaan sebenar ketika helikopter menyentuh permukaan tanah masih belum dapat dipastikan," katanya.


Selain siasatan teknikal, AAIB turut mengenal pasti risiko keselamatan dalam pengurusan kecemasan di STOLport Long Lellang.


Laporan itu menyatakan tiada anggota khusus untuk operasi menyelamat dan memadam kebakaran ditempatkan di situ.


Sebaliknya tugas berkenaan diserahkan kepada anggota RELA yang menjalankan fungsi bantuan keselamatan penerbangan serta menyelamat dan memadam kebakaran.


Sebanyak 12 alat pemadam api serbuk kering digunakan ketika kejadian, namun kebakaran berterusan selama beberapa jam, jelas laporan itu.


Laporan itu turut mendapati anggota yang cuba memadamkan kebakaran menghampiri bangkai helikopter tanpa memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) khusus untuk memadam kebakaran.


Sebahagian kelengkapan yang tersedia pula menunjukkan tanda kerosakan dan kemerosotan keadaan, ujarnya.


AAIB mengklasifikasikan perkara itu sebagai penemuan berkaitan risiko keselamatan yang boleh menjejaskan keselamatan anggota serta keberkesanan tindak balas kecemasan.


“Keadaan ini boleh menjejaskan keselamatan dan keberkesanan tindak balas kecemasan,” menurut laporan tersebut.


Sehubungan itu, pengendali aerodrom disyorkan menyemak semula pengaturan menyelamat dan memadam kebakaran di STOLport bagi memastikan anggota bantuan menerima latihan serta kelengkapan sewajarnya selain peralatan sentiasa diselenggara dalam keadaan baik.


Sebagai langkah berjaga-jaga selepas nahas, pengendali disyorkan menggantung operasi pesawat yang menggunakan jenis enjin sama sementara menunggu pengesahan kelayakan udara dan pelaksanaan pembaikan yang diperlukan.


AAIB menegaskan siasatan masih diteruskan untuk menentukan punca serta faktor penyumbang nahas, termasuk kemungkinan keadaan teknikal, prosedur operasi, penyelenggaraan dan faktor organisasi.


“Penentuan punca dan faktor penyumbang yang muktamad akan diperincikan dalam Laporan Akhir,” menurut laporan awal berkenaan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page