Tiada negara boleh bertahan jika diasak hasutan kebencian kaum - PM
- Suara Keadilan

- Aug 30
- 2 min read

Tiada negara di dunia yang mampu bertahan sekiranya setiap waktu diasak oleh sentimen dan emosi berasaskan kebencian kaum dan agama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan memecah-belahkan negara berdasarkan kaum, kabilah dan wilayah itu mesti dihalang dengan keras dan tegas.
"Berilah cadangan apa pun, termasuk mutakhir ini, pembangunan semula bandar masih dilihat dari segi kaum, masih ditanam dan dihasut rasa takut.
"Kita tidak boleh mengenepikan kepentingan kaum masing-masing. Apa pun saya bicarakan, saya tetap Melayu, saya bangga dengan bahasa saya, bahasa Melayu dan kehebatan budaya Melayu yang agung. Tapi tidak wajar kebanggaan ini meremehkan, memadamkan, apa lagi menghina yang lain.
"Sebab itu, ini bukan 'zero sum game', bukan memilih untuk memperhebat kekuatan Melayu dan menghina yang lain atau pun dalam kalangan masyarakat Cina. Menyatakan keagungan budaya dan tamadun mereka ribuan tahun dan cuba meminggirkan seolah-olah negara ini tidak ada asas kekuatan, bahasanya dan budayanya atau pun dalam kalangan masyarakat India," katanya dipetik sewaktu menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025.
Namun PM berkata, beliau masih lega kerana majoriti rakyat tidak terikut ikut pihak tertentu yang terlalu mempolitikkan hal hal baik yang dilakukan kerajaan kebelakangan ini.
"(Bagaimanapun) saya bersyukur majoriti rakyat masih gunakan hikmah dan kebijaksanaan, lihat fakta dan angka, bukan sentimen buruk yang boleh melemahkan kekuatan negara kita," ujarnya.
PM dipercayai merujuk Rang Undang Undang Akta Pembaharuan Semula Bandar yang ditangguhkan perbahasan bacaan kedua di Dewan Rakyat kelmarin.
Cadangan untuk memperbaharui bangunan usang di bandar itu terlalu dipolitikkan pembangkang yang menyifatkannya sebagai percubaan kerajaan untuk 'menghalau' orang Melayu dari bandar besar.
PM menyampaikan amanatnya di Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Komuninasi, Datuk Fahmi Fadzil.









Comments