top of page

Tiada masalah kekurangan barangan akibat penebusan SARA RM100

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 3, 2025
  • 1 min read

Oleh: Akmal Manaf


Tiada sebarang laporan diterima daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung masalah bekalan barangan keperluan asas susulan pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang bermula 31 Ogos lalu.


Perkara tersebut dimaklumkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil yang turut menegaskan bahawa pemantauan akan ditingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan tidak berlaku sebarang isu melibatkan stok barangan keperluan asas.


''Dalam mesyuarat hari ini, tidak ada dibangkitkan isu yang berkait (stok barangan).. tetapi pihak KPDN dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semestinya akan memastikan bekalan stok ayam, telur dan sebagainya adalah mencukupi,'' katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di Putrajaya hari ini.


Dalam pada itu, Fahmi yang memetik Kementerian Kewangan (MOF) turut memaklumkan, sehingga tengah malam tadi, sebanyak RM192.5 juta telah ditebus dan jangkaannya lebih ramai akan keluar untuk menebus pada minggu akan datang.


Beliau menyifatkan tempoh penebusan bantuan SARA masih panjang, iaitu sehingga 31 Disember ini.


Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya menyusun masa yang sesuai untuk ke premis berdekatan bagi membuat pembelian, sekali gus mengelakkan kesesakan.


''(Tentang sistem pembayaran tergendala) ada dibincangkan dalam mesyuarat pada hari ini dan disampaikan kepada pihak Menteri Kewangan II (Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan).


''(Dalam perbincangan itu) dinyatakan bahawa usaha akan dilakukan untuk membantu menasihati lebih 7,000 premis yang terlibat dalam pelaksanaan program SARA agar mereka dapat memaklumkan kepada pengunjung mengenai proses penebusan barangan dengan lebih jelas.


''Ini termasuk menyemak beberapa perkara penting dan menguruskan barangan yang mungkin ditinggalkan pembeli (akibat sistem tergendala) dengan lebih teratur,'' ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page