Kerajaan Negeri memasuki proses pembersihan banjir seterusnya apabila tiada lagi mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan usaha kini tertumpu kepada pembersihan sepenuhnya.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sebanyak 40 mangsa banjir terkahir telah meninggalkan PPS di Kuala Langat pada pukul 9:40 pagi, semalam.
Manakala, katanya, 47,762 mangsa daripada 11,237 keluarga di 227 PPS sama ada awam dan swasta yang telah menerima bantuan Selangor Bangkit berjumlah RM1,000 satu keluarga.
"Antara usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, setakat 10 pagi tadi, dengan sumbangan RM1,000 sebagaimana diumumkan program Selangor Bangkit, seramai 19,170 mangsa yang berpindah dan tidak ke PPS telah menerima bantuan RM1,000.
"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut menetapkan tarikh permohonan bantuan dilanjutkan sehingga 31 Januari bagi yang tidak pindah ke PPS dan tinggal di rumah keluarga masing masing
"Mulai hujung minggu ini petugas kita mula mencari rumah ke rumah untuk mendaftar program Selangor bangkit. Untung yang meninggal dunia, 6 waris daripada 25 yang meninggal dunia telah kita beri sumbangan RM10,000," katanya.
Sehubungan itu, kata MB, fasa kedua pembersihan akan dimulakan selepas fasa pertama mengutip sampah di hadapan rumah selesai dilakukan dalam tempoh 2 minggu.
"Fasa kedua pembersihan menjurus kepada tinggalan. Ada sebahagian yang menyewa dari syarikat swasta lori roro dan ada yang mengambil jalan pintas membuang di tepi jalan, dan kita akan mengambil sampah ini dalam dua minggu.
"Kedua membersihkan longkang. Di sebahagian tempat, longkang bukan sahaja ada sampah tetapi lumpur," katanya.
Selain itu, Amirudin juga memberitahu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan RM9.18 juta ringgit bagi 13 projek dikawal Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) dalam usaha pengukuhan tebing sungai, aras platform TNB, pembelian generator mudah alih dan sistem amaran banjir.
"Kerja kerja JPS ini adalah kerja darurat dan sedang serta akan dibuat dalam sebulan," katanya.
Comments