top of page

Tiada kompromi terhadap rasuah, MCW sokong titah Tuanku Muhriz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Oleh: Helmi Foad


Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyatakan sokongan penuh terhadap titah tegas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang menzahirkan kebimbangan serius terhadap penularan gejala rasuah serta sikap segelintir pihak yang masih mempertahankan individu disabitkan bersalah atas jenayah berkenaan.


Presidennya Jais Abdul Karim menegaskan titah Tuanku Muhriz bukan sekadar peringatan moral malah merupakan satu teguran kenegaraan yang amat signifikan kepada seluruh lapisan masyarakat khususnya pemimpin politik, penjawat awam dan institusi kuasa agar tidak menormalisasikan rasuah atas apa jua alasan.


Menurut beliau, sokongan terhadap penjenayah rasuah mencerminkan kegagalan memahami bahaya sebenar rasuah yang bukan sahaja meruntuhkan integriti institusi malah mencemar kedaulatan undang-undang serta merosakkan asas moral masyarakat.


"Lebih membimbangkan, sikap sedemikian berpotensi membentuk budaya kebal undang-undang dan menghalalkan pengkhianatan terhadap amanah rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jais menegaskan bahawa tiada ruang toleransi, kompromi atau usaha pemutihan imej terhadap mana-mana individu yang telah disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah sambil menekankan bahawa prinsip keadilan tidak boleh dirunding atau dipolitikkan demi kepentingan kuasa.


MCW turut menyokong seruan Tuanku Muhriz agar pihak-pihak yang masih mempertahankan penjenayah rasuah bermuhasabah dan menilai semula prinsip serta pegangan nilai masing-masing, kerana sebuah negara yang mahu maju dan dihormati tidak boleh dibina atas pembenaran moral terhadap perbuatan khianat.


Selain itu, MCW menggesa penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara konsisten, bebas dan berintegriti tanpa layanan dua darjat bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.


Jais turut merakamkan penghargaan atas ketegasan Tuanku Muhriz dalam mempertahankan nilai kebenaran, keadilan dan amanah demi aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih daripada rasuah dan bermaruah di persada dunia.


"Tiada ruang toleransi, kompromi atau pemutihan imej terhadap mana-mana individu yang telah disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah.


"Prinsip keadilan tidak boleh dirunding dan tidak wajar dikorbankan demi kepentingan sempit," kata beliau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page