Tiada kompromi terhadap keganasan, ancaman - Saifuddin
- Suara Keadilan

- Aug 14
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) memberi jaminan bahawa semua siasatan berhubung insiden melibatkan anak Datuk Seri Rafizi Ramli dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang, tanpa dipengaruhi status atau latar belakang mana-mana pihak.
Beliau berkata, pihaknya memandangkan serius kejadian tersebut dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti sekali gus membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Saya telah menghubungi dan bercakap sendiri dengan YB Rafizi sejurus dimaklumkan mengenai insiden ini.
"Saya merakamkan rasa simpati dan keprihatinan yang mendalam kepada YB Rafizi dan keluarga atas insiden serangan yang melibatkan anak beliau di Putrajaya dan mendoakan agar anak beliau segera pulih dan keluarga tabah menghadapi ujian ini.
"Keselamatan rakyat adalah keutamaan, dan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman," katanya dalam satu kenyataan.
Susulan kejadian itu, orang ramai diseru agar tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk melaksanakan siasatan mengikut undang-undang.
Terdahulu, Rafizi memaklumkan anaknya diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira 1.45 tengah hari semalam.
Kata Rafizi, ketika anak dan isterinya hendak memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah, dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup seluruh muka mengheret anaknya dan mencucuk dengan jarum suntikan.
"Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal," katanya.









Comments