top of page

Tiada kompromi terhadap buli, siasat, hukum pihak bersalah, cuai - AMK

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 56 minutes ago
  • 2 min read
Wakil AMK mendengar penjelasan dari keluarga mendiang Keziah Nisha berhubung kematian pelajar tersebut
Wakil AMK mendengar penjelasan dari keluarga mendiang Keziah Nisha berhubung kematian pelajar tersebut

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia bersedia membantu keluarga mendiang Keziah Nisha mendapatkan khidmat guaman dan sokongan psikologi susulan kematian pelajar berkenaan yang menimbulkan pelbagai persoalan.


Exco AMK Malaysia, N Gopiraj menegaskan, kematian seorang anak muda dalam keadaan yang menimbulkan pelbagai persoalan tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya setiap dakwaan mesti disiasat, setiap persoalan mesti dijawab dan kebenaran mesti ditegakkan.


"AMK menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional terhadap segala dakwaan yang dibangkitkan, termasuk meneliti aduan terdahulu yang dikatakan telah dibuat kepada pihak sekolah serta melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

N Gopiraj
N Gopiraj

"Tanpa mendahului hasil siasatan pihak berkuasa, sekiranya terdapat bukti berlakunya sebarang kesalahan, kecuaian atau kegagalan oleh mana-mana pihak, tindakan sewajarnya hendaklah diambil tanpa kompromi mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa," katanya menerusi satu kenyataan.


Terdahulu, wakil AMK telah mengunjungi keluarga mendiang bagi mendengar sendiri luahan serta penjelasan ahli keluarganya.


Menurut Gopiraj lagi, dalam masa terdekat AMK pihaknya akan mengambil inisiatif untuk memohon kerjasama strategik dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperluaskan kempen kesedaran, pendidikan serta pencegahan buli di seluruh negara.


Katanya, setiap anak berhak ke sekolah tanpa rasa takut, malah institusi pendidikan mesti menjadi ruang selamat untuk belajar, membina keyakinan dan mengejar masa depan, bukannya tempat pelajar berasa terancam, dihina atau didiskriminasi.


"AMK akan terus komited mempertahankan keselamatan, maruah dan hak setiap anak muda tanpa mengira kaum, bangsa atau latar belakang.


"Keadilan tidak mengenal warna kulit. Perlindungan tidak boleh memilih siapa yang harus dibela dan tiada ruang untuk buli di sekolah. Keselamatan setiap pelajar mesti menjadi keutamaan," kata beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Bukit Bintang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page