Tiada kompromi ketirisan, selepas TH kerajaan fokus FELDA
- Helmi Mohd Foad

- 1 day ago
- 2 min read

Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap ketirisan dan kelemahan tatakelola dalam institusi negara dengan tumpuan seterusnya akan diberikan kepada FELDA selepas tindakan susulan berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketirisan membabitkan jumlah besar memberi kesan terhadap kemampuan kerajaan menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi memenuhi keperluan rakyat.
"Kalau yang disebut ketirisan begitu, Tabung Haji RM12 bilion, FELDA RM10 bilion dan agensi-agensi lain itu, tak termasuk lagi sistem tender," katanya ketika berucap pada sesi Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tidak boleh berkompromi dalam soal tatakelola meskipun usaha memperbaiki sistem dan mengambil tindakan terhadap ketirisan boleh mendatangkan kesan politik.
Beliau berkata kerajaan juga sudah melakukan perubahan terhadap sistem tender bagi memastikan proses perolehan dilaksanakan dengan lebih telus.
"Di sini saudara tahu, saya tidak campur urusan tender. Kerana saya tahu sebaik sahaja campur, dia ada pengaruh dia. Jadi sistemnya harus telus.
"Apakah dia dihargai? Tidak semestinya. Kerana yang menang tender mungkin akan senang, yang tidak akan membuat beberapa tuduhan.
"Tapi yang tidak boleh kompromi apa? Mesti ada sistem tender yang telus dan mesti ada keterbukaan," katanya.
Anwar berkata usaha mengurangkan ketirisan penting kerana dana kerajaan perlu dimanfaatkan untuk menangani pelbagai keperluan rakyat termasuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU), individu autisme dan sindrom down.
Menurutnya, tambahan RM10 juta atau RM20 juta bagi membantu kumpulan berkenaan mungkin tidak besar, namun mendapatkan peruntukan tambahan menjadi lebih sukar apabila kerajaan berdepan kekangan kewangan.
"Besar bagi rakyat di bawah. Soal OKU, soal Down syndrome, soal autism. Itu orang-orang derita hidup dia.
"Dia nak tambah RM10 juta, RM20 juta bukan banyak sebenarnya. Tetapi menjadi sukar kerana kita terpaksa berjimat, sebab dana itu terbatas.
"Padahal dana sebenarnya tidak terbatas kalau kita betul-betul cermat," katanya.
Menyentuh isu Tabung Haji, Anwar berkata beliau meminta beberapa pihak yang pernah berada dalam kedudukan berkuasa dan terbabit dalam perkara berkenaan supaya memberikan maklumat serta taklimat kepada Raja-Raja Melayu.
Beliau berkata kerajaan mengambil pendirian tegas berhubung tindakan susulan terhadap isu yang dibangkitkan menerusi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan beliau tidak akan mencampuri urusan penyiasatan mahupun pendakwaan.
"Arahan saya, tak campur penyiasatan, tidak boleh, pendakwaan tidak boleh. Tapi saya boleh beri pengarahan umum.
"Tegas, cepat, jangan bagi dalih, jangan takut siapa. Mesti bertindak sebagai contoh untuk bertindak secara tegas tanpa ansur untuk menyelamatkan negara," katanya.
Perdana Menteri kemudian memberi isyarat bahawa usaha memperkukuh tatakelola dan menangani ketirisan tidak akan berakhir dengan isu Tabung Haji apabila FELDA bakal menjadi tumpuan seterusnya.
"Dan berikutnya selepas Tabung Haji, kita akan terus ke FELDA.
"Tapi mudah di sini, mungkin sebahagian besar mungkin senang. Tapi saya nak beritahu, tidak mudah.
"Saya bukan memberikan alasan. Saya cuma mengatakan bahawa inilah realiti politik sebenar yang perlu kita hadapi," katanya.
Anwar mengakui pendirian tegas kerajaan dalam isu tatakelola boleh membawa risiko dan menuntut harga politik yang tinggi, namun beliau bertekad untuk meneruskannya.
"Tetapi jika ditanya kepada saya, saya sudah nyatakan bahawa saya bersedia mengambil risiko. Saya akan terus bergerak ke hadapan tanpa menghiraukan apa juga halangan. Ia telah menuntut harga politik yang tinggi.
"Dan saya fikir pada usia saya sekarang, saya tidak terlalu bimbang mengenai perkara itu," katanya.




Comments