Tiada keperluan pinda Perlembagaan, Malaysia kekal dasar berkecuali
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Kerajaan tidak melihat keperluan untuk meminda Perlembagaan atau undang-undang sedia ada bagi mengekalkan pendirian Malaysia sebagai negara berkecuali, meskipun landskap geopolitik global kini semakin tidak menentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar luar negara boleh terus digubal dan dilaksanakan selagi tidak bercanggah dengan Perlembagaan serta semangat asasnya.
"Penggubalan dasar negara itu tidak memerlukan pindaan perlembagaan asalkan ia tidak bertentangan dengan perlembagaan dan semangat perlembagaan," katanya ketika menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) dalam sesi pertanyaan Perdana Menterinya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjelaskan, pendirian berkecuali Malaysia berteraskan prinsip persahabatan dengan negara jiran khususnya dalam ASEAN, selain komitmen berterusan dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata Malaysia mengambil pendekatan pragmatik dengan memperluas jaringan antarabangsa, termasuk penglibatan dalam kerangka BRICS, meskipun langkah itu tidak disenangi sesetengah pihak.
"Kita kekal dengan hubungan baik bersama Amerika Syarikat dan Eropah dan dalam masa sama mempunyai hubungan rapat dengan China, selain memperkukuh kerjasama dengan India dan negara lain," katanya.
Menurut beliau, dasar luar Malaysia berpaksikan nilai keadilan dan kemanusiaan, yang dizahirkan melalui pendirian tegas negara terhadap isu Gaza walaupun berdepan tekanan antarabangsa.
Anwar mengakui Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan geopolitik, namun menegaskan strategi utama kerajaan ialah memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa.
"Cara kita menyelamatkan negara daripada tekanan keterlaluan ialah dengan menguatkan hubungan antarabangsa dan mengamalkan diplomasi yang bijaksana, bukan permusuhan tetapi tahu batasnya," katanya.
Mengulas lanjut kebimbangan Ahli Parlimen Sik berhubung Perjanjian Daya Tahan Ekonomi Amerika Syarikat–ASEAN (ASEAN–United States Agreement on Resilient Trade, ART), Perdana Menteri menegaskan bahawa perjanjian tersebut masih belum dimuktamadkan dan belum dikuatkuasakan.
Beliau berkata kerajaan masih berada di peringkat perundingan dan proses jawab balas dengan beberapa peruntukan penting masih terbuka untuk penelitian lanjut.
"Ia belum dimuktamadkan kerana masih memberi ruang untuk jawab balas dan belum ada jadual tamat bagi proses tersebut, jadi penguatkuasaannya belum berlaku," katanya.
Menurut Anwar, isu berkaitan ART turut dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri dan akan diperincikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) termasuk jawapan kepada puluhan soalan yang telah dibangkitkan.
"Saya dimaklumkan oleh Menteri MITI, terdapat sekitar 35 soalan berkaitan ART yang akan dijelaskan oleh beliau," katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan memuktamadkan sebarang perjanjian yang boleh menjejaskan kedaulatan dasar negara atau bertentangan dengan kepentingan nasional termasuk dalam aspek perundangan dan penguatkuasaan.
Perdana Menteri berkata, beberapa jaminan telah diberikan oleh Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) dalam perbincangan sebelum ini, namun kerajaan berpandangan jaminan tersebut wajar diperincikan secara bertulis.
"Ada jaminan dalam perbincangan itu, termasuk berkaitan Klausa 72 dan ia dicatat dalam mesyuarat, tetapi kita berpendapat lebih baik jaminan itu dibuat secara bertulis atau dijadikan lampiran kepada perjanjian," katanya.
Menurut beliau kerajaan masih berhubung dengan pelbagai pihak dan saluran diplomatik bagi mendapatkan penjelasan lanjut sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
"Sekarang masih peringkat perundingan dan belum sampai tarikh muktamad. Kita mahu semua perkara ini jelas supaya kepentingan negara terus terpelihara," katanya.









Comments