Pertumbuhan ekonomi 2025 memberansangkan, 4.9 peratus - PM
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pertumbuhan ekonomi negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2025 merekodkan pertumbuhan 4.9 peratus setakat pagi ini, melepasi unjuran rasmi kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus, umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri (PM) berkata, bukan sahaja KDNK menunjukkan pertumbuhan positif, malah prestasi ringgit turut mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun apabila mengukuh kepada paras RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
"Indeks pasaran saham tempatan, Bursa Malaysia turut mencatat prestasi memberangsangkan apabila mencecah paras 1,700 mata, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun lalu.
"Kadar pengangguran pada November 2025 turun kepada 2.9% (yang merupakan) kadar terendah dalam tempoh 11 tahun," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ir Hasni Mohammad [BN-Simpang Renggam] yang ingin tahu faktor-faktor yang menyumbangkan kepada prestasi pertumbuhan ekonomi tahun 2025 yang dijangkakan akan mengatasi unjuran di antara 4.0%-4.8% ekoran anggaran awalan suku
empat tahun 2025 sebanyak 5.7%.
Anwar menyifatkan, pencapaian positif itu merupakan hasil kerjasama daripada Ahli-ahli Yang Berhormat dalam menjamin kestabilan politik dan kesinambungan serta kejelasan dasar bersama, di samping usaha gigih perkhidmatan awam dan juga peniaga serta pelabur.
"Perkara kedua tentang hala tuju negara itu agak jelas, seperti mana diumumkan seperti Pelan Induk Perindustrian, Transformasi Digital, Peralihan Tenaga dan lain-lain.
"Ketiga mengenai kesediaan kerajaan dengan tekad politik, melaksanakan pembaharuan dasar yang mencabar, yang membina keyakinan pelabur termasuk Akta Kewangan dan tanggungjawab fiskal sehingga defisit fiskal turun dari 5.5% pada 2022, kepada 3.8% pada 2025," ujar beliau yang juga Menteri Kewangan.









Comments