top of page

Peace Committee Gaza: Malaysia hati-hati, utama hentikan serangan Israel

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati terhadap cadangan penubuhan Peace Committee bagi pembangunan semula Gaza, dengan menegaskan keutamaan ketika ini ialah menghentikan serangan berterusan rejim Zionis Israel serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menyokong sebarang usaha yang menjurus kepada perdamaian, namun menegaskan beberapa persoalan asas masih belum dijelaskan berkaitan jawatankuasa berkenaan.


"Pada dasarnya kita sokong langkah-langkah untuk menjamin kedamaian tetapi kita juga ada beberapa pandangan tentang penubuhan jawatankuasa itu dan ahli-ahli yang terlibat," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat.


Menurut beliau, kebimbangan utama ialah penglibatan individu dan pihak yang rekod serta pendiriannya terhadap Palestin dipertikaikan, termasuk peranan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.


"Ada bangkangan kuat terhadap kedudukan Tony Blair yang terlibat secara langsung dalam serangan ke atas Iraq dan sikapnya yang dianggap tidak telus serta tidak adil dalam isu Palestin dan Gaza," katanya.


Anwar turut menyatakan kebimbangan terhadap laporan penyertaan kepimpinan Israel dalam jawatankuasa tersebut yang menurutnya masih belum disahkan sepenuhnya.


"Banyak pengumuman itu belum disahkan, sebab itu kita minta senarai penuh ahli jawatankuasa ini diperoleh terlebih dahulu," katanya.


Beliau berkata, isu berkenaan akan diteliti dalam mesyuarat Jemaah Menteri, sementara Menteri Luar telah diarahkan mendapatkan maklumat terperinci selain beliau sendiri menghubungi pemimpin dunia Arab, Turkiye dan negara berkaitan bagi mendapatkan pandangan.


Perdana Menteri menegaskan bahawa cadangan Peace Committee tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian munasabah selagi serangan ke atas Gaza masih berterusan.


"Perjanjian sudah dimeterai tetapi serangan oleh rejim Zionis Israel masih berterusan. Ini perkara pertama yang mesti dihentikan," katanya.


Menurut beliau, keutamaan seterusnya ialah memastikan laluan bantuan kemanusiaan dibuka sepenuhnya bagi menjamin keperluan asas rakyat Gaza.


"Hentikan serangan, kemudian beri laluan untuk bantuan makanan dan keselesaan hidup. Kalau ini gagal, perdamaian itu tidak bermakna," katanya.


Anwar berkata, beberapa cadangan pembangunan semula termasuk inisiatif pembinaan perumahan berskala besar yang diusulkan oleh Presiden Turkiye masih dihalang oleh Israel.


"Maknanya ada cadangan perdamaian, tetapi makan minum dan keperluan asas rakyat Gaza tidak terjamin," katanya.


Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia tidak akan tergesa-gesa memberikan sokongan terhadap cadangan tersebut tanpa jaminan jelas mengenai matlamat, mekanisme dan keutamaan sebenar Peace Committee.


"Sebab itu Malaysia memilih untuk berhati-hati sebelum memberikan dukungan," kata Anwar lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page