Tiada kenaikan cukai taksiran di Selangor - MB
- Redzuan Shamsudin
- May 5, 2022
- 1 min read

Spekulasi yang mendakwa akan berlaku kenaikan cukai taksiran yang dikutip Pihak Berkuasa Tempatan di sesetengah kawasan di Selangor pada tahun ini dijawab tegas oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata tumpuan kerajaan Selangor adalah bagi memulihkan ekonomi rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid 19 dan banjir besar yang berlaku pada penghujung tahun lalu.
"Tiada kenaikan cukai taksiran di Selangor. Keutamaan ketika ini adalah bagi merangsang dan merancakkan ekonomi untuk memastikan langkah pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.
Sebelum ini Exco Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri tidak akan membenar atau meluluskan sebarang kenaikan cukai taksiran membebankan rakyat.
Ng menambah, sehubungan itu tarikh penguatkuasaan nilaian baharu dibuat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) belum diputuskan.
Pada November tahun lalu, yang dipertua MPKj memaklumkan pihaknya bercadang menaikkan kadar cukai taksiran pada 2023.
Najmuddin Jemain berkata kadar kenaikan dicadangkan adalah tidak melebihi RM20 untuk penduduk yang tidak membuat pengubahsuaian kediaman.
Commenti