top of page

"Tiada kampung dikorbankan" – Aminuddin sangkal fitnah Projek Pelabuhan AI

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan Negeri Sembilan menafikan dakwaan yang mendakwa projek pelabuhan pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Port Dickson akan pengambilan tanah penduduk, termasuk kawasan kampung, hutan simpan dan tanah adat.


Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembangunan bakal dilaksanakan sepenuhnya di atas tanah milik Tanco Holdings Berhad dan anak syarikatnya, Midports Holdings Sdn. Bhd. tanpa melibatkan pengambilan tanah milik orang ramai.


"Tiada satu kampung pun yang akan kita korbankan untuk projek ini. Tidak ada pengambilan tanah dan tidak ada hutan simpan yang akan terkesan di Port Dickson.


"Pembangunan dibuat di atas tanah milik Tanco Holdings Berhad seluas kira-kira 202 hektar atau 500 ekar yang akan dijadikan tapak pelabuhan," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial.


Beliau turut menegaskan, dakwaan kononnya projek berkenaan memerlukan kira-kira 566 hektar atau 1,400 ekar tanah termasuk melibatkan tanah adat juga tidak berasas kerana kawasan tanah adat hanya terdapat di Kuala Pilah, Jelebu, Rembau dan Tampin.


"Saya akan pastikan tanah orang Melayu terus terpelihara dan dijaga dengan baik. Kita tidak mahu masyarakat dikelirukan atau ditakut-takutkan dengan perkara yang tidak benar," katanya.


Aminuddin turut menjelaskan, projek bernilai RM3.4 bilion bagi fasa pertama itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi Port Dickson serta membuka peluang untuk kawasan berkenaan berkembang sebagai pusat perniagaan bebas cukai.


Pembangunan pelabuhan pintar tersebut memenuhi keperluan strategik negara sebagai sebuah negara maritim yang berada di laluan perdagangan paling sibuk dunia di Selat Melaka, dengan adanya pelabuhan tersebut, ia dijangka memberi limpahan manfaat langsung kepada penduduk, khususnya di kawasan Linggi dan Pasir Panjang.


Sementara itu sebagai mengulas kebimbangan nelayan yang bergantung kepada Sungai Linggi, Aminuddin memberi jaminan projek berkenaan tidak melibatkan Kampung Tanjung Agas, Kampung Sungai Raya mahupun Sungai Linggi.


Kerajaan Negeri juga jelasnya akan memastikan kebajikan komuniti nelayan terus diberikan perhatian sepanjang pelaksanaan projek itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page