'Tiada istilah setiakawan dalam kamus PN' - Aiman Athira
- Suara Keadilan

- Dec 30, 2025
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Pemimpin kanan AMANAH mendakwa tiada istilah setiakawan dalam budaya parti komponen Perikatan Nasional menghadapi persaingan politik.
Ketua Wanita Pakatan Harapan, Datuk Aiman Athirah Sabu (gambar) mendakwa, sejarah parti Bersatu-PN tidak boleh dipisahkan daripada episod ketidaksetiaan apabila segelintir pemimpinnya pernah memilih jalan pintas merebut kuasa untuk membentuk kerajaan tanpa mandat rakyat pada 2020 lalu.
"Bersatu sememangnya licik. Pencapaian awalnya adalah khianat mandat rakyat. Bahasa yang digunakan oleh kebanyakan pemimpin Pas selepas polemik Perlis (terbaharu) adalah ‘kawan makan kawan’.
"Mana ada istilah setiakawan dalam kamus Bersatu," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ketua Wanita AMANAH sementara itu mengingatkan, pengkhianatan berskala besar didorong oleh nafsu kuasa segelintir pemimpin kini dihalalkan dengan nama “penyatuan Melayu”, sambil sentimen kebencian terhadap DAP dijadikan modal politik.
Menyentuh mengenai Pas, Aiman mengingatkan bahawa parti itu turut dapat merasa jadi Kerajaan Persekutuan selama 33 bulan hasil khianat, dan "kawan makan kawan".
"Generasi kita didik dengan politik rendah martabat dan akalnya dengan kepercayaan dan amalan bahawa "dalam politik, tiada kawan dan lawan yang kekal". Pas pun ada dan berpegang dengan pendirian sebegini.
"Daripada Tahaluf Siasih tiba-tiba berubah arah kepada Ta'awun Siasih dengan memilih musuh tradisi sebagai kawan. Puluhan tahun rakyat diasuh mempercayai UMNO sebagai parti taghut, namun naratif itu berubah secara mendadak apabila kepentingan kuasa mengambil tempat.
"Di situ liciknya politik Pas yang gagal dibaca kerana dibungkus kemas dengan agama. Kegagalan mengurus perbezaan dengan DAP pernah dijadikan alasan untuk memecahkan Pakatan Rakyat. Ini bukan setiakawan," tambahnya.
Dalam hantaran sama, beliau turut mengkritik Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh, yang dilihat mengambil kesempatan dalam isu adendum dan kemelut politik di Perlis untuk mencetus permusuhan dalam Kerajaan Perpaduan yang sedang berusaha membangun negara.
"Kita faham citra dan semangat anak muda, tetapi berterusan mengambil jalan provokatif dan menjauh, tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.
"Daripada terus menguak jurang perbezaan dan mencetus permusuhan, lebih matang jika semua pimpinan pemuda Perpaduan bertemu dan mengamalkan rukun ukhuwah yang jujur dan santun," tegasnya.









Comments