Proses pewartaan tanah Orang Asli di Hulu Selangor dipercepat - Exco
- Azuan Ab Rahman

- 8 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor akan mempercepat proses pewartaan tanah kampung Orang Asli di Daerah Hulu Selangor bagi menjamin hak serta kesejahteraan komuniti berkenaan.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu Veraman (gambar) berkata, Mesyuarat Pewartaan Tanah Orang Asli Daerah Hulu Selangor dipengerusikannya semalam diberitahu, sebanyak 14 kawasan kampung komuniti itu masih dalam proses pewartaan.
Daripada jumlah keseluruhan kampung terlibat, hanya lima kampung selesai menjalani kerja ukur tanah manakala sembilan lagi masih dalam tindakan.
"Saya menegaskan urusan pewartaan tanah Kampung Orang Asli perlu dipercepatkan bagi menjamin hak dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli di Selangor.
"Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan menyediakan peruntukan bagi mempercepatkan kerja ukur tanah.
"Ini penting supaya proses pewartaan dapat diselesaikan secara lebih efisien dan teratur," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Sebagai rekod, majoriti penempatan Orang Asli di Hulu Selangor termasuklah kawasan di Hulu Behrang Kuala Kubu Bharu dan Serendah didiami suku kaum Temuan.
Komuniti ini terus mendapat sokongan dari Kerajaan Negeri menerusi pelbagai program, bantuan, dan usaha pemeliharaan warisan budaya mereka.
Sementara itu menurut Papparaidu, dalam mesyuarat diadakan semalam beliau turut menyentuh persiapan sambutan Hari Orang Asli yang dijadual berlangsung pada 9 Ogos ini di Kampung Gerachi Jaya.
Program berkenaan dijangka menjadi platform menghargai masyarakat Orang Asli selain memperkukuh hubungan bersama komuniti setempat.




Comments