Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pemuda Negara yang dipelopori oleh bekas pemimpin KEADILAN, Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin mengalami krisis dalaman apabila dilaporkan ramai ahli bertindak meninggalkan badan itu.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah, Raymond Ahuar yang mendakwa salah seorang daripadanya iaitu bekas Ketua AMK Beaufort, Keven Lee membuat keputusan untuk menyertai UMNO bersama 40 orang pengikutnya.
Beliau berkata, perkara itu jelas menunjukkan bahawa Pemuda Negara dibawah pimpinan Azmin dan Zuraida tidak mempunyai hala tuju dan masa depan.
"Saudara Keven telah digantung keahlian kerana dengan jelas menyokong kumpulan pengkhianat dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Saya memandang apa yang berlaku ini sebagai satu bukti jelas bahawa mereka telah hilang arah dalam politik," katanya dalam kenyataan.
Raymond juga mendakwa ada bekas pimpinan AMK yang menyesal kerana mengikut gerakan Pemuda Negara dan membuat keputusan untuk menyertai parti politik semula.
"Ada antara mereka sebelum ini pernah menghubungi beberapa pimpinan AMK negeri menyatakan kekesalan kerana bersama gerombolan pengkhianat menyertai Pemuda Negara dengan dijanjikan "bulan dan bintang".
"Namun akhirnya mereka sedar kumpulan itu tidak ada hala tuju jelas dalam politik sehinggakan ada antara mereka menyertai bukan sahaja Bersatu, malah UMNO yang mereka sering kata sebagai sebuah parti yang paling korup. Malah ada yang buat pusingan-U untuk bersama KEADILAN semula," katanya.
Raymond meluahkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa mereka, namun mengingatkan ahli KEADILAN supaya kekal berprinsip dan tidak melakukan kesilapan yang sama seperti pengikut Azmin.
"Seperti Azmin, anak-anak buahnya juga tidak tahu hala tuju mereka selepas langkah pengkhianatan yang mereka ambil sehingga mereka terumbang-ambing dalam memilih hala tuju politik baru mereka.
"Mereka boleh saja menunjukkan mereka 'gah' dengan NGO Pemuda Negara, Penggerak Komuniti dan DAYA namun dari segi politik jelas mereka telah gagal dalam mengikut pelan asal mereka sehingga kebanyakannya terabai yang akhirnya memilih untuk menyertai parti korup yang telah ditolak rakyat seperti UMNO.
"Saya tumpang simpati kepada sahabat lama. Semoga ia menjadi pengajaran kepada anak muda agar kekal berprinsip dalam perjuangan dan tidak gelojoh mengejar jawatan dan habuan lain sekaligus menggadaikan maruah diri," katanya.
Comments