top of page

Tiada arahan tamat kontrak, dakwaan CUEPACS tidak tepat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 19
  • 2 min read

ree

Tiada sebarang arahan dikeluarkan bagi menamatkan kontrak secara besar-besaran terhadap pegawai yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti dibangkitkan Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat baru-baru ini.


Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi satu kenyataan pada Selasa memaklumkan pengurusan kontrak pegawai lantikan (CoS) adalah berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan dan persetujuan kedua-dua pihak.


Menurutnya bagi tahun 2024, jumlah kelulusan CoS bagi kakitangan yang tidak memiliki SPM hanyalah 2,037 orang.


"Sehingga 13 Feb lepas, 108 permohonan daripada pelbagai agensi untuk kelonggaran syarat skim perkhidmatan bagi melantik semula pegawai kontrak yang tidak memiliki SPM susulan daripada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).


"Daripada jumlah itu, 83 permohonan telah diluluskan manakala 25 permohonan tidak dapat dipertimbangkan kerana pegawai masih dalam tempoh kontrak atau lantikan sebelum ini yang didapati tidak teratur.


"Ini sekali gus menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu itu secara inklusif dan bertimbang rasa.


"Dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai penamatan kontrak 30,000 kakitangan adalah tidak tepat," kata kenyataan itu.


Adnan Mat sebelum ini dilaporkan berkata keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan golongan itu dan tidak mengambil kira pengalaman selama enam tahun dalam perkhidmatan kontrak adalah satu langkah tidak adil.


Sementara itu menerusi kenyataan sama JPA memaklumkan, pelaksanaan SSPA telah menetapkan bahawa 14 skim perkhidmatan yang sebelum ini menerima kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dinaik taraf kepada kelayakan masuk SPM.


"Namun, ini tidak bermakna pegawai awam yang sedang berkhidmat dengan kelayakan PMR atau PT3 perlu ditamatkan kontrak.


"Keputusan ini juga bertepatan dengan perubahan sistem pendidikan negara, yang tidak lagi melaksanakan peperiksaan PMR dan PT3. Dengan pemansuhan PMR dan PT3, SPM kini menjadi taraf pendidikan terendah yang melayakkan seseorang untuk memasuki perkhidmatan awam," jelasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page