Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Julai ini, PN khususnya Pas semakin galak menyerang Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) sejak 3 penggal lalu.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Chua Wei Kiat, tidak banyak yang boleh ditawarkan oleh Pas kepada pengundi di Selangor selain strategi menguasai kerusi DUN dan tidak jelas apa yang akan mereka lakukan di peringkat pentadbiran negeri.
"Selain menyasar memenangi 33 kerusi dan berminat menarik 20% pengundi bukan Melayu, PN tidak dapat memberitahu pengundi Selangor, apa hala tuju PN, selain ulang kegiatan fitnah dan memohon maaf kepada pemimpin Pakatan Harapan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebaliknya, Ahli Dewan Negeri Rawang itu mengingatkan rakyat bahawa keadaan telah jauh lebih baik di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak November 2022 berbanding kerajaan pusat PN sebelumnya.
Beliau merujuk hasil selidik firma IPSOS yang menunjuk peningkatan keyakinan rakyat terhadap hala tuju keadaan ekonomi negara, iaitu sekitar 53% pada tahun 2023 berbanding 38% pada tahun 2022. Malaysia berada pada kedudukan yang ke-4 dalam 26 negara ditinjau.
Perkara paling menarik, katanya, sebanyak 62% rakyat Malaysia kembali yakin terhadap keputusan dan halatuju dasar ekonomi. Keyakinan rakyat Malaysia itu, kata Wei Kiat, juga mencerminkan keyakinan pengundi di Selangor
"Selepas Langkah Sheraton dan ketidakstabilan politik yang timbul, rakyat dan pelabur telah hilang keyakinan terhadap kerajaan, dapatan IPSOS menunjuk keadaan sebaliknya, sudah berubah setelah Kerajaan Perpaduan ambil alih Putrajaya.
"Saya ingin menasihat Pas untuk fokus selesaikan isu di negeri Kedah, Kelantan,Terengganu sebelum masuk ke PRN negeri.
"Kalau sekadar mengeluarkan kenyataan politik bersifat sentimen perkauman dan agama untuk memikat hati pengundi, saya yakin pengundi Selangor tidak akan termakan taktik tersebut," ujarnya.
Tegas Wei Kiat lagi, rakyat Selangor lebih faham keikhlasan pemimpin PH dalam memperbaiki kebajikan rakyat dan memulangkan hasil kemewahan negeri kepada penduduk Selangor berbanding pemimpin PN.
"Selama 3 penggal PH pegang Selangor, rakyat dapat rasai keikhlasan kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap nasib mereka.
"Kerajaan jaga kebajikan, perumahan, kesihatan dan nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya.
Comments