Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan tiada sebarang kelas akademik akan dijalankan pada minggu pertama sesi persekolahan 2023 - 2024 dibuat setelah penelitian.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata arahan dibuat melalui Pekeliling Ikhtisas (SPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 5 Tahun 2023 bertarikh 9 Mac itu adalah bagi memastikan semua langkah diambil kementerian akan memberi impak terbaik.
"Kita ambil masa yang lama untuk melihat dan memastikan bahawa pekeliling (baharu) ini benar-benar boleh memberikan impak kepada anak-anak kita, yang akan kita terjemahkan kepada murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara, negara sejahtera," kata Ketua Wanita KEADILAN itu di Kongres Nasional Khas KEADILAN semalam.
Beliau turut memberitahu, dengan ketetapan baharu itu, ia telah membatalkan pekeliling asal berusia 34 tahun yang dilaksanakan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan.
Untuk rekod, melalui pekeliling terbaharu minggu pertama sesi persekolahan bermula 19 Mac dan 20 Mac ini akan diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek.
Antara yang disarankan adalah program komunikasi dan kerjasama antara murid, guru, ibu bapa penjaga dan komuniti untuk memupuk perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum dan latar belakang sosioekonomi.
Hal itu bagi menyokong murid dan guru agar bersedia sepenuhnya dalam aspek sosioemosi dan mental untuk berdepan proses pendidikan formal.
Comments