top of page

Gelak kuat tapi kerusi kosong: Undian RUU dedah kelemahan pembangkang

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Mar 3
  • 2 min read
Tempat duduk barisan pembangkang berhadapan PM lebih banyak kosong semalam. Foto: Jab Penerangan
Tempat duduk barisan pembangkang berhadapan PM lebih banyak kosong semalam. Foto: Jab Penerangan

Laungannya lantang di luar dewan, namun ketika tiba saat undian penting, kerusi pembangkang pula yang banyak kosong.


Demikian sindiran pedas dilemparkan aktivis Pakatan Harapan, Syam Ghaz terhadap Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari susulan keputusan undian Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun di Dewan Rakyat semalam.


Menurut Syam Ghaz, angka rasmi undian jelas menunjukkan kelemahan komitmen blok pembangkang.


Daripada keseluruhan Ahli Parlimen pembangkang, seramai 32 orang tidak hadir manakala 44 lagi tidak mengundi.

Hanya 44 direkodkan secara nyata tidak menyokong.


"Yang tak sokong secara jelas cuma 44 orang. Selebihnya tak hadir atau tak mengundi. Separuh ponteng," katanya dalam satu kenyataan.

Syam Ghaz
Syam Ghaz

RUU tersebut mendapat 146 undi menyokong dengan hanya kekurangan dua undi untuk mencapai majoriti dua pertiga iaitu 148 undi bagi meluluskan pindaan Perlembagaan.


Syam Ghaz turut mendakwa semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan hadir sepenuhnya manakala lapan Ahli Parlimen penyokong kerajaan tidak dapat hadir atas urusan tertentu.


Beliau menyifatkan usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai sebahagian agenda reformasi institusi yang telah dijanjikan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dalam manifesto.


"Kalau lulus pun, Perdana Menteri sendiri akan terikat. Penggal depan pun dah tamat. Jadi apa sebenarnya yang pembangkang takutkan?" soalnya.


Dalam nada sinis, Syam Ghaz turut membayangkan Perikatan Nasional (PN) tidak berminat mengehadkan tempoh jawatan kerana mahu mengekalkan budaya kepimpinan jangka panjang, sambil mengaitkan Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang yang telah memimpin parti berpenggal penggal lamanya.


Beliau juga menyentuh slogan “Anwar Turun” yang sebelum ini sering dilaungkan pembangkang dengan menyifatkan keputusan undian kali ini seolah-olah bercanggah dengan retorik tersebut.


"Dulu bukan main desak Anwar turun. Sekarang bila ada peluang hadkan tempoh, ramai pula yang tak turun mengundi," katanya lagi.


Menurut beliau, pindaan RUU tersebut masih boleh dibawa semula pada sidang Parlimen akan datang bagi mendapatkan sokongan mencukupi.


Semalam dalam hantaran di media sosial Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari menyindir Kerajaan Perpaduan dan PM kerana buat pertama kali gagal meminda Perlembagaan Persekutuan biarpun kerajaan mempunyai jumlah kerusi lebih 2/3 di Dewan Rakyat.


Sedangkan pembangkang, terutamanya Pas harus menilai semula perjuangan mereka kerana telah berkempen pada setiap kali pilihanraya sejak 1999 untuk mengehadkan tempoh PM dua penggal, tetapi apabila mempunyai kesempatan mengotakan janji, mereka enggan melakukannya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page