TH ditatang bagai minyak penuh, integriti jadi persoalan
- Helmi Mohd Foad

- 1 day ago
- 4 min read
Updated: 24 minutes ago

Isu tadbir urus yang didedahkan menerusi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak seharusnya dipandang ringan oleh umat Islam, sebaliknya perlu diberikan perhatian serius kerana pemeliharaan harta merupakan antara tuntutan agama.
Bekas Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Zolkharnain Abidin (gambar) berkata isu TH perlu dilihat berdasarkan prinsip hifz al-mal atau pemeliharaan harta yang merupakan antara tuntutan utama maqasid syariah.
Menurutnya, al-Quran memberikan perhatian besar terhadap pengurusan dan pengagihan harta serta menetapkan bahawa harta tidak boleh diuruskan mengikut kehendak pihak yang mempunyai kuasa semata-mata.
"Kita kena mengambil perhatian bersungguh-sungguh kerana isu Tabung Haji berkait rapat dengan jiwa dan roh kita serta menyentuh perkara yang sangat penting kepada umat Islam.
"Selama ini, tidak pernah orang bukan Islam masuk campur dalam pengurusan Tabung Haji. Kita tatang institusi ini bagai minyak yang penuh. Tetapi apabila laporan RCI dikeluarkan, kita perlu bertanya, siapa sebenarnya yang menyebabkan Tabung Haji berdepan masalah?
"Kita tidak perlu menyebut sesiapa, tetapi perbuatan yang merosakkan dan menyeleweng itu dilakukan oleh tangan orang Islam sendiri. Kesannya akhirnya kembali kepada kita dan turut dirasai oleh orang lain.
"Jadi, adakah perkara yang berlaku ini semata-mata persoalan akidah? Adakah sesebuah institusi itu pasti terjaga hanya kerana ia diuruskan oleh orang Islam dan akan bermasalah jika dijaga oleh orang bukan Islam?
"Persoalan sebenarnya bukan semata-mata mengenai agama seseorang. Perkara yang tidak ada pada mereka yang melakukan penyelewengan itu ialah integriti," katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Merungkai RCI Tabung Haji, sempena Persidangan Khas Ulama dan Agamawan Hifz Al-Mal di sini, hari ini.
Turut tampil sebagai panel ialah dua akauntan bertauliah, Wan Syukri Wan Mustapha dan Taqiuddin Amini Abdul Satar serta penganalisis ekonomi Ahmad Faizuddin Razali.
Program yang disertai lebih 100 ulama dan agamawan itu digerakkan oleh Sekretariat Ulama Malaysia bersama Mursyid al-‘Am Majlis Ulama Malaysia, Tuan Guru Haji Abdul Rahim Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Zolkharnain memberi contoh pengagihan zakat yang ditetapkan kepada golongan asnaf, selain hukum berkaitan harta ghanimah dan al-fai’ yang turut diperincikan dalam Islam.
Katanya, prinsip asasnya ialah hanya pihak yang berhak boleh menerima sesuatu harta, manakala pihak berkuasa tidak boleh mengagihkannya sesuka hati.
Menurutnya, masyarakat Islam sepatutnya memberikan perhatian serius terhadap pendedahan berkaitan TH kerana ia membabitkan harta umat Islam dalam jumlah yang sangat besar.
Beliau turut mempersoalkan mengapa reaksi masyarakat dilihat tidak sepadan dengan skala permasalahan yang didedahkan menerusi RCI.
Menurut Zolkharnain, TH selama ini merupakan institusi yang amat dekat dengan umat Islam dan memainkan peranan penting dalam membantu mereka melaksanakan ibadah haji.
Namun, apabila timbul masalah dalam pengurusan institusi itu, katanya, persoalan lebih besar yang perlu diberikan perhatian ialah integriti pihak yang diberikan amanah.
Zolkharnain turut membangkitkan persoalan mengenai penggunaan kaedah “perakaunan kreatif” bagi membolehkan pembayaran hibah TH.
Menurutnya, sesuatu matlamat yang dianggap baik tidak boleh dicapai dengan memanipulasi peraturan atau kaedah perakaunan.
Katanya, persoalan yang perlu dijawab ialah sama ada tindakan sedemikian boleh diterima dari sudut Islam sekiranya ia tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau mengakui bantuan kewangan TH bagi mengurangkan kos jemaah menunaikan haji merupakan usaha yang memberikan manfaat besar kepada umat Islam.
Bagaimanapun, katanya, umat Islam juga perlu memahami konsep istita'ah atau kemampuan untuk menunaikan ibadah haji dan tidak seharusnya meletakkan keseluruhan beban kos kepada institusi atau pihak lain.

Sementara itu, Wan Syukri membangkitkan persoalan mengapa laporan RCI berkenaan tidak didedahkan kepada umum pada September 2022.
Menurutnya, perkara itu wajar diberikan perhatian memandangkan pentadbiran kerajaan ketika itu diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, manakala portfolio hal ehwal agama dipegang Datuk Idris Ahmad.
Katanya, pihak yang mempunyai tanggungjawab ketika itu sewajarnya memberikan penjelasan atau membentangkan hasil laporan tersebut kepada masyarakat.
Wan Syukri turut menyentuh kedudukan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang ditubuhkan sebagai syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan.
Katanya, walaupun aset TH dipindahkan kepada UJSB dalam proses penstrukturan semula, syarikat itu tetap dimiliki kerajaan Malaysia.
Beliau turut membangkitkan isu penggunaan firma audit luar dalam menilai kedudukan TH, termasuk pelantikan firma profesional bagi tempoh tertentu.
Menurutnya, penggunaan firma audit profesional bukan sesuatu yang luar biasa kerana pemilihan juruaudit bergantung kepada keperluan dan keputusan pengurusan.
Bagaimanapun, perkara paling utama, katanya, adalah memastikan proses audit memberikan gambaran yang tepat mengenai kedudukan kewangan sebenar institusi berkenaan.
Dalam pada itu, Taqiuddin Amini menegaskan laporan RCI tidak boleh dianggap sebagai kertas pertuduhan terhadap mana-mana individu.
Sebaliknya, katanya, laporan berkenaan mengandungi penemuan serta cadangan anggota suruhanjaya yang perlu disusuli proses penyiasatan sekiranya terdapat perkara yang memerlukan tindakan lanjut.
"RCI bukan satu kertas pertuduhan. Ia adalah penemuan dan cadangan yang diberikan anggota RCI.
"Untuk membuktikan kesalahan, ia memerlukan penyiasatan dan proses perundangan bagi mengambil langkah seterusnya," katanya.
Menurut Taqiuddin, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah penemuan berkaitan aspek perakaunan dan rosot nilai dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata terdapat penekanan audit mengenai perubahan polisi rosot nilai serta isu rosot nilai membabitkan beberapa syarikat subsidiari dan syarikat bersekutu.
Katanya, perkara itu penting dalam memahami kedudukan kewangan TH ketika itu, termasuk bagaimana keputusan berkaitan pengiktirafan keuntungan serta pembayaran hibah dibuat.
Taqiuddin turut melihat pertukaran kerajaan pada 2018 sebagai antara faktor yang membuka ruang kepada penelitian lebih mendalam terhadap keadaan TH.
Menurutnya, kerajaan baharu ketika itu mengambil langkah mendedahkan isu berkenaan menerusi pembentangan di Parlimen pada Disember 2018 sehingga ia menjadi perhatian nasional.
Beliau berkata laporan RCI turut mengenal pasti beberapa kelemahan dalam kerangka perundangan TH, termasuk berkaitan keluasan kuasa yang diberikan kepada menteri.
Dalam pada itu, Taqiuddin berkata penyata kewangan TH diaudit setiap tahun dan kedudukan kewangan sebenar institusi itu penting dalam menentukan kemampuan untuk membayar hibah.
"Isu berkaitan penyediaan penyata kewangan dan pengiktirafan keuntungan perlu diberikan perhatian kerana pembayaran hibah sepatutnya berasaskan keuntungan sebenar," katanya.




Comments