
Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari menyeru agar umat Islam yang telah sebati dengan madrasah tarbiyah Ramadan agar meneruskan nilai baik yang dipraktikkan sepanjang sebulan berpuasa untuk bulan bulan seterusnya.
"Bagi menyambut kemenangan yang ditandai dengan kepulangan kembali kepada fitrah, yakni maksud sebenar Aidilfitri, marilah kita semua meneruskan kerja baik yang dibajai pada bulan mulia yang lepas seperti menyantuni golongan fakir dan anak yatim serta yang kurang berkemampuan.
"Kesederhanaan ini harus kita teruskan dan ditampilkan bukan sahaja melalui tindakan kita, tetapi juga menerusi akal budi dan fikiran kita agar anak-anak kita turut mewarisi budaya dan akhlak yang serupa supaya dapat melahirkan generasi yang bermaruah dan berwawasan.
"Manfaatkanlah sepenuhnya silaturrahim dan ukhuwwah yang telah kita bina selama ini seperti yang dianjurkan agama," katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Selain itu, Menteri Besar Selangor itu juga melahirkan rasa syukur di atas kejayaan pemerintahan Pakatan Harapan di Selangor pada 3 bulan pertama tahun 2023.
"Alhamdulillah atas kejayaan prestasi kutipan hasil Kerajaan Negeri sepanjang pentadbiran ini serta dalam tiga bulan pertama tahun ini, saya telah mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2023, yang bukan sahaja memberikan satu bulan gaji kepada penjawat-penjawat awam Negeri Selangor, tetapi juga penjawat-penjawat awam Persekutuan seperti guru, polis dan lain yang berkhidmat di Negeri Selangor turut akan menerima manfaat insentif ini iaitu sebanyak RM200
"Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda semua," katanya lagi.