Teroka damai: Malaysia buktikan kepimpinan sejati ASEAN
- Suara Keadilan
- Jul 30
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang dimeterai di Kuala Lumpur semalam merupakan detik bersejarah bagi ASEAN.
Ketua Biro Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Norhayati Umor (gambar) berkata, kejayaan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat itu juga mencerminkan kepimpinan sejati berasaskan keberanian dan belas ihsan dalam membuat keputusan berani demi kebaikan bersama untuk kemanusiaan sejagat.
"Malaysia selaku Pengerusi ASEAN berjaya memimpin dengan menunjukkan teladan menerusi kepimpinan yang inklusif dan proaktif dalam menganjurkan Mesyuarat Khas antara Kemboja dan Thailand.
"Peranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pendamai dalam pertemuan tersebut mengangkat nilai moral yang tinggi dalam usaha mengekalkan keamanan sambil memacu kemajuan ekonomi, selari dengan kerangka MADANI yang diperkenalkannya," kata beliau dalam kenyataan.
Kemboja dan Thailand berselisih pendapat mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan sehingga menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Konflik itu memuncak pada 25 Julai lalu apabila tercetus pertempuran bersenjata di utara Kemboja.
Susulan itu, Anwar telah mempengerusikan mesyuarat khas bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan satu persetujuan dicapai untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta bermula malam Isnin.
Norhayati menerusi kenyataan sama menambah, langkah berani dimainkan Malaysia dalam mencari penyelesaian kepada konflik tersebut turut mendapat reaksi positif daripada para pemimpin utama rantau ini, sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap Wawasan ASEAN 2040 yang menekankan nilai perpaduan, keamanan dan pembangunan mampan.
Comments