Ternak babi di Bukit Tagar: Kabinet syor batal dulu, minta lokasi alternatif
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Kabinet mengesyorkan agar projek penternakan babi berteknologi tinggi yang dicadangkan di Bukit Tagar, Hulu Selangor dibatalkan dahulu ekoran keresahan yang ditimbulkan orang ramai berkaitan isu alam sekitar di lokasi tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk meminta pertimbangan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek itu di kawasan yang lebih baik.
"Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, kita bincang mengenai kontroversi kawasan ternakan khinzir baru di Bukit Tagar.
"Jadi kita (kerajaan) berpandangan isu persekitaran, keresahan rakyat pelbagai kaum di sekitar kawasan baru itu harus beri perhatian.
"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor untuk mendapatkan pandangan lanjut dan mempertimbangkan supaya projek ini, kalau boleh, dibatalkan dahulu serta menilai lokasi lain yang lebih sesuai.
"Kalau teknologinya terbaik sekali pun, tetapi kawasan itu mencetuskan kebimbangan dan tidak wajar diteruskan, maka pilihan lain perlu dipertimbangkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Al-Amin, Bangi hari ini.
Anwar berkata, meskipun isu ternakan merupakan bidang kuasa Kerajaan Negeri, beliau menegaskan implikasi pencemaran alam sekitar tidak boleh dipandang ringan.
"Isu ternakan, sama ada ayam atau khinzir, boleh memberi kesan pencemaran yang berat. Sebab itu kita tidak boleh menganggap perkara ini mudah diselesaikan," katanya.
Sebelum ini Kerajaan Selangor memutuskan untuk mempercepatkan pemindahan ladang ternakan babi di Kuala Langat dan Sepang ke pusat ternakan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Keputusan itu bagi membolehkan kira-kira 116 ladang babi di dua daerah itu disatukan dan menamatkan pencemaran di Kuala Langat yang telah berlarutan berdekad-dekad lamanya.
Langkah itu diperkenankan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan perternakan babi di Tanjung Sepat perlu dihentikan sepenuhnya.
Bagaimanapun, penduduk di sekitar Bukit Tagar membantah projek penternakan tersebut atas alasan ia berdekatan kawasan majoriti orang Islam dan sumber air mentah.
Untuk rekod kawasan di Bukit Tagar merupakan lokasi pelupusan sisa pepejal.
Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi menggantikan Bukit Tagar sebagai tapak pemindahan ladang ternakan babi berpusat.
Bagaimanapun, beliau berkata Kerajaan Negeri kekal terbuka untuk sebarang perbincangan dengan semua pihak bagi memastikan pelaksanaan sistem penternakan yang lebih teratur, komprehensif dan mesra alam.









Comments