Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diumumkan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin dianggap sudah terlambat kerana harga barang keperluan telah pun melambung naik sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat Datuk Menteri Besar Selangor, Dr Gunaraj George, jawatankuasa itu sepatutnya telah lama dibentuk memandangkan pakar kewangan telah memberi amaran kadar infalsi akan meningkat pada pertengahan 2022.
"PM Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pelantikan Tan Sri Anwar Musa Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
"Pakar-pakar ekonomi sejak tahun lalu sudah menjangkakan akan berlaku peningkatan inflasi pada pertengahan 2022, namun mengapa baru sekarang Kerajaan mewujudkan pasukan khas menangani inflasi?
"Kerajaan sewajarnya sudah mempunyai pelan tindakan dan telah melaksanakan langkah proaktif, bukannya menubuhkan jawatankuasa khas yang baru hendak bermesyuarat," katanya.
Malah menurut Dr Gunaraj lagi, tindakan Kerajaan itu juga tidak sejalan dengan penubuhan jawatankuasa jihad inflasi berkenaan apabila mengekalkan keputusan menarik harga kawalan ke atas telur ayam dan menghapus subsidi minyak masak botol mulai 1 Julai.
"Kerajaan di sini tiada sebarang mekanisme baru mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup dan hanya mengumumkan harga siling ayam yang baru RM 9.40 sekilo. Tidak diperincikan bagaimana harga siling ayam ini menjamin tiada kenaikan di pasaran apabila peniaga kekal mengenakan caj pemotongan ayam setiap kilogram," katanya.
Sehubungan itu, Dr Gunaraj menggesa ahli politik yang memegang kuasa untuk menghentikan permainan politik dalaman mereka dan menumpukan sepenuh tenaga untuk berkhidmat kepada rakyat.
Rakyat katanya, sedang bergelut mencatu makanan ketika Ahli Parlimen UMNO sibuk bertelagah mengenai kuasa sesama sendiri.
"Melihat situasi mendesak hari ke hari, tidak wajar kerajaan menyuruh rakyat 'memahami' kenaikan harga barang. Sebagai kerajaan, setiap Menteri yang dilantik wajar mencari jalan memulihkan kesengsaraan rakyat.
"Jika tiada langkah proaktif diambil oleh Kerajaan, Malaysia berkemungkinan besar akan berada dalam keadaan inflasi melampau.
"Kerajaan melalui agensinya perlu mengawal selia kenaikan harga barangan bagi mengimbangi risiko inflasi. Menteri dan pihak berkuasa terbabit hendaklah memantau kenaikan harga bagi mengelak daripada rakyat terus terbeban," katanya.
Menurut Ahli Dewan Negeri Sentosa itu lagi, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengumumkan inflasi makanan untuk April 2022 meningkat lebih tinggi pada 4.1 peratus, dengan 89.1 peratus jenis makanan bagi kumpulan makanan dan minuman menyaksikan kenaikan. Daripada sayur, minyak masak, sardin, ayam, telur hinggalah tepung.
Tegas beliau, kesan kenaikan itu pula berganda dan berantai. Sebagai contoh, katanya, apabila telur naik, produk yang berkaitan dengan telur turut naik, termasuk kuih dan roti. Indeks Harga Pengguna Malaysia juga meningkat berikutan kenaikan harga makanan dan bahan api.
Penurunan nilai ringgit, ujarnya menambah buruk peningkatan kos sara hidup yang berpunca daripada kos import melambung.
"Jumlah import makanan Malaysia pada 2020 sebanyak RM55.5 bilion, berbanding eksport makanan RM33.8 bilion. Kita perlu akui bahawa kebergantungan negara kepada bekalan makanan dari luar beri kesan kepada harga bahan makanan.
"Kerajaan seharusnya memperkemaskan rantaian makanan dalam negara agar dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan makanan daripada luar," katanya.
Beliau berharap strategi dan inisiatif yang sesuai perlu diambil dalam memastikan harga barangan dan makanan tidak terus naik kerana ia akan menjadi merupakan bom jangka yang amat berbahaya.
Tambah Dr Gunaraj, PM Umno dan Menteri KPDNHEP perlu lebih agresif menjaga nasib rakyat dan jangan memberi jawapan pemantauan sedang dijalankan atau akan diselesaikan kerana jawapan tersebut amat membosankan rakyat.
"Rakyat hari ini memerlukan satu tindakkan yang komprehensif dalam menangani kenaikkan harga barang yang dilihat seperti sudah hilang kawalan.
"Saya turut mencadangkan agar Perdana Menteri, Menteri dan Wakil Rakyat dipotong gaji bulanan mereka jika Kerajaan masih gagal menyelesaikan kemelut ekonomi negara dengan kadar segera. Perkara ini wajar kerana, sebagai pemimpin yang telah diberikan kuasa mereka telah gagal membela nasib rakyat yang sedang sengsara di bawah," katanya lagi.
Comments