Terjemah perjuangan Islam melalui pelaksanaan, bukan slogan


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan gerakan Islam berteraskan ilmu, akhlak dan idealisme dalam menghadapi cabaran perjuangan semasa.
Beliau berkata kebangkitan Islam tidak seharusnya hanya didorong ledakan semangat, emosi dan sentimen, sebaliknya perlu disokong kekuatan ilmu yang mampu membina kesedaran serta keinsafan.
"Gerakan kesedaran atas nama Islam tempang sekiranya hanya berpaksikan semangat kemarahan dan menghalalkan adu domba. Kita harus bangkit dengan tradisi akliah dan tegak dengan idealisme. Gerakan apa pun atas nama Islam akan teruji bukan semata-mata pada slogan tapi kepada pelaksanaan perjuangannya," katanya dalam hantaran di media sosial.
Anwar berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi anjuran WADAH, ABIM dan PKPIM di Bangi pada 26 September 2026. Majlis itu turut meraikan delegasi The Union of NGOs of The Islamic World (UNIW).
Menurut beliau, gerakan kesedaran atas nama Islam akan menjadi tidak seimbang sekiranya hanya berpaksikan kemarahan dan sentimen, termasuk amalan adu domba.
Beliau turut mengingatkan bahawa gerakan yang membawa nama Islam perlu dinilai bukan semata-mata berdasarkan slogan, tetapi melalui pelaksanaan perjuangan yang berlandaskan prinsip dan akhlak.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh kepentingan usrah serta pemeliharaan tradisi turath Islami sebagai panduan dalam gerakan dan perjuangan.
"Saya juga sentuh kepentingan usrah dalam gerakan dengan tidak meninggalkan tradisi turath Islami yang juga penting dalam memandu gerakan dan perjuangan. Selain tegas dalam melawan rasuah, menentang pemikiran takfiri serta perjuangan membasmi kemiskinan tegar, gerakan Islam juga harus kekal dengan adab, akhlak dan menghormati kebangsaan," katanya lagi.
Pada masa sama, beliau menekankan keperluan gerakan Islam untuk terus tegas dalam memerangi rasuah, menentang pemikiran takfiri dan menangani kemiskinan tegar.
Beliau berkata perjuangan tersebut perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan adab, akhlak serta sikap menghormati kepelbagaian dalam masyarakat.




Comments