Kes beberapa Ahli Parlimen menerima wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sebahagian daripadanya didakwa sementara sebahagian yang lain tidak diambil tindakan, ditimbulkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan beliau bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, petang tadi.
Menurut Anwar, terdapat spekulasi beberapa Ahli Parlimen Umno yang didakwa menerima wang 1MDB tetapi melompat ke dalam Bersatu tidak disiasat dan hal itu telah menimbulkan persepsi kurang baik kepada SPRM.
"Saya kata walau masa itu dalam (pemerintahan) Pakatan Harapan. Ada kes di mana Ahli-ahli Parlimen menerima wang yang dikatakan dari 1MDB.
"Pada ketika itu beberapa Ahli Parlimen Umno dan bekas Ahli Parlimen Umno didakwa. Dan orang-orang yang menerima wang (1MDB) tetapi melompat ke Bersatu dilepaskan. Saya kata tak boleh pertahan, ini telah menjadi rahsia umum. Kes sama, fakta sama yang kekal sebagai pembangkang didakwa, yang melompat dilepaskan.
"SPRM menjelaskan mereka tidak terlibat dalam melepaskan sesiapa. Ini adalah budi bicara Jabatan Peguam Negara atau Peguam Negara pada ketika itu.
"Saya ingatkan ini tidak membantu SPRM kerana ia akan memberikan imej bahawa SPRM bersekongkol dengan penguasa sama BN atau PH dan sekarang lebih parah di bawah Perikatan Nasional (PN).
"Dia (Azam) kata sekadar yang mampu, SPRM menjalankan tugas secara telus dan bebas. Kami kemukakan kepada Peguam Negara. Jadi sepatutnya Peguam Negara dulu dan sekarang mesti jawab," kata Anwar kepada media.
Selain itu, Anwar turut membangkitkan ugutan oleh seorang 'menteri kanan' kerajaan PN yang menawarkan jika Ahli Parlimen KEADILAN melompat maka siasatan tidak akan diteruskan.
"Saya juga kaitkan beberapa kes yang berlaku baru-baru ini di mana tumpuan lebih kepada tokoh-tokoh pembangkang. Saya juga tekankan kalau benar ada kes, bukti fakta yang kuat tentang perilaku rasuah, saya tidak datang untuk pertahankan.
"Tetapi saya beritahu ada kes khusus di mana seorang mantan menteri mengadu kepada saya bahawa beliau diberi jaminan oleh seorang menteri kanan kalau beliau lompat beliau akan dibebaskan daripada apa-apa tindakan rasuah.
"Saya kata kalau kita benar-benar bersih dan tidak rasuah kita tidak harus bimbang. Tetapi dalam kes ini persepsi sebegitu rupa seolah-olah keadaan 'terkawal dan diamkan' terus siasatan itu.
"Pesuruhjaya dan pegawai-pegawai beri jaminan mereka tetap telus, bebas dan tidak menutup mana-mana kes kalau benar ada rasuah," katanya lagi.
Bagaimanapun secara keseluruhan, Pengerusi Pakatan Harapan itu berpuas hati dengan usaha SPRM meningkatkan usaha penerangan pencegahan rasuah dalam kalangan ahli politik dan masyarakat sivil.
Namun beliau menegaskan, rasuah tidak akan dapat dibendung dengan berkesan kalau tidak ada tekad politik di pihak yang memegang kuasa. Jerung-jerung besar terselamat, orang bawah ditangkap dan ia tidak akan memberi satu gambaran atau persepsi yang baik.
Comments