Peningkatan Bayaran Khas RM1.5 bilion: Angkat hak Sabah selaras MA63
- Redzuan Shamsudin

- 56m
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Penampang menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peningkatan Bayaran Khas Interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion bagi tahun ini.
Ketua AMK Penampang, Eldridge Laurence Timis (gambar) berkata langkah itu merupakan satu perkembangan signifikan yang mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mengangkat hak serta kepentingan Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
"Pengumuman ini merupakan satu langkah yang amat signifikan dan membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mengangkat hak serta kepentingan Sabah selaras dengan semangat MA63," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Naib Ketua AMK Sabah menjelaskan bahawa bayaran RM1.5 bilion tersebut adalah bersifat interim sementara menunggu penyelesaian mekanisme pembayaran hasil 40 peratus kepada Sabah yang masih dalam rundingan teknikal antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Menurutnya, peningkatan ketara daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk memastikan Sabah terus menerima manfaat lebih besar sementara penyelesaian jangka panjang dimuktamadkan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pihak tertentu agar tidak mempolitikkan isu berkenaan, sebaliknya menilai fakta secara adil.
"Selama berdekad-dekad, isu pembayaran 40% tidak pernah diselesaikan secara tuntas walaupun sebahagian daripada pengkritik hari ini pernah berada dalam kerajaan dan kabinet Persekutuan. Malah, ketika pentadbiran terdahulu, bayaran interim yang diberikan kepada Sabah jauh lebih rendah berbanding apa yang diumumkan pada hari ini," katanya.
Tambah beliau, peningkatan tersebut merupakan rekod baharu kerana belum pernah mana-mana kerajaan sebelum ini menaikkan bayaran khas kepada Sabah sehingga mencecah RM1.5 bilion setahun.
AMK Penampang turut mengiktiraf usaha berterusan Perdana Menteri dalam memastikan pelaksanaan MA63, termasuk mengakui hak Sabah dan Sarawak serta mengambil langkah konkrit menyelesaikan isu tertangguh.
Kenyataan itu juga menyebut kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Persekutuan sebagai faktor penting kejayaan tersebut, dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Datuk Mustapha Sakmud.
Sehubungan itu, AMK Penampang menyeru semua pihak agar melihat pengumuman tersebut secara objektif sebagai satu kemajuan besar ke arah penyelesaian menyeluruh tuntutan kewangan Sabah.
"RM1.5 bilion bukan pengganti kepada 40%, tetapi bukti bahawa kerajaan sedang bergerak ke arah penyelesaian yang lebih adil dan mampan untuk Sabah," ujarnya lagi.
Justeru Eldridge Laurence menegaskan, dengan komitmen berterusan serta semangat kerjasama semua pihak, hak Sabah diyakini dapat direalisasikan secara lebih tersusun, adil dan mampan.




Comments