top of page

Terengganu perlu lebih telus, dedah saiz sebenar Tanah Rizab Melayu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 1
  • 2 min read


Kerajaan Negeri Terengganu digesa supaya lebih jujur dan telus dalam menjelaskan kedudukan sebenar Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri itu kepada rakyat.


Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob berkata, perbincangan mengenai TRM perlu berasaskan fakta rasmi dan bukannya persepsi politik yang boleh mengelirukan masyarakat.


Menurut beliau, berdasarkan data rasmi Parlimen dan Kementerian Sumber Asli, keluasan Tanah Rizab Melayu di Semenanjung Malaysia sebenarnya menunjukkan peningkatan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.


"Pada tahun 2020, keluasan TRM direkodkan sekitar 4.82 juta hektar, manakala setakat Jun 2024 ia meningkat kepada hampir 4.96 juta hektar, melibatkan pertambahan lebih 134,000 hektar.


"Ini membuktikan perlindungan tanah Melayu di peringkat Persekutuan terus diperkukuh selaras dengan Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan persoalan utama rakyat Terengganu bukan sekadar merujuk kepada angka nasional.


Menurut jadual rasmi Parlimen bagi tempoh 2019 hingga 2021, keluasan Tanah Rizab Melayu di Terengganu kekal pada 118.22 hektar tanpa sebarang pertambahan direkodkan, sedangkan beberapa negeri lain menunjukkan peningkatan pewartaan dalam tempoh sama.


"Keadaan ini menimbulkan persoalan serius terhadap hala tuju pentadbiran tanah Kerajaan Negeri Terengganu," ujarnya.

Ahmad Nadhir Yob
Ahmad Nadhir Yob

Ahmad Nadhir turut menjelaskan bahawa walaupun Kerajaan Negeri sering menyatakan Terengganu memiliki keluasan Tanah Pegangan Melayu (TPM) yang besar, namun TPM tidak mempunyai tahap perlindungan Perlembagaan yang sama seperti TRM.


"Tanah Rizab Melayu dilindungi secara jelas oleh Perlembagaan Persekutuan dan pembatalannya tertakluk kepada syarat penggantian wajib, manakala Tanah Pegangan Melayu masih bergantung kepada kelulusan pentadbiran negeri serta pindaan syarat tanah," jelasnya.


Beliau berkata, kebergantungan berlebihan kepada Tanah Pegangan Melayu tanpa memperluaskan pewartaan TRM boleh mendedahkan negeri kepada risiko kehilangan tanah Melayu secara berperingkat dalam jangka panjang.


Selain itu, beliau mempersoalkan ketiadaan pendedahan terbuka mengenai jumlah sebenar TRM terkini di Terengganu, termasuk lokasi pewartaan, sebarang pembatalan yang berlaku, tanah gantian yang disediakan serta laporan pewartaan tahunan secara rasmi.


Katanya, ketiadaan data terbuka tersebut membuka ruang kepada spekulasi dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran tanah negeri.


Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri Terengganu supaya mendedahkan secara terbuka data terkini TRM dan Tanah Pegangan Melayu negeri, meningkatkan pewartaan TRM baharu sebagai perlindungan jangka panjang serta mewujudkan ketelusan penuh dalam urus tadbir tanah termasuk membentangkan laporan tahunan kepada rakyat.


"Isu Tanah Rizab Melayu bukan isu politik kepartian. Ia adalah soal amanah terhadap hak Melayu dan masa depan generasi akan datang.


"Rakyat tidak menuntut propaganda, sebaliknya menuntut kejujuran, ketelusan dan jaminan sebenar bahawa tanah Melayu di Terengganu benar-benar dilindungi, bukan sekadar dinyatakan di atas kertas.


"Tanah Melayu bukan milik kerajaan hari ini, tetapi warisan anak cucu untuk masa hadapan," tegasnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page