Isu SJK(T) di Muar diberi perhatian selepas sedekad, Yuneswaran cari penyelesaian
- Suara Keadilan
- 5 minutes ago
- 2 min read

Isu pemindahan dan pembinaan semula Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Muar, Johor yang berlarutan hampir sedekad kini kembali mendapat perhatian apabila usaha baharu digerakkan bagi memastikan penyelesaian tuntas dapat dicapai.
Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran berkata, sekolah yang telah beroperasi sejak 1926 itu berdepan pelbagai cabaran termasuk risiko banjir, akses pengangkutan serta tahap keselamatan yang kurang memuaskan untuk murid.
Menurut beliau, isu berkenaan bukan sekadar melibatkan infrastruktur tetapi menyentuh hak pendidikan anak-anak di kawasan tersebut.
"Ia melibatkan hak pendidikan anak-anak Segamat untuk belajar dalam suasana yang lebih selamat, selesa dan teratur," katanya dalam muat naik di media sosial.
Jelas beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini pernah meluluskan permohonan pemindahan tapak sekolah tersebut pada 12 November 2020 ke Lot PTD 16939 seluas lima ekar, namun kelulusan itu telah luput selepas proses tidak dapat diteruskan dalam tempoh ditetapkan.
Sehubungan itu, usaha baharu kini digerakkan dengan pendekatan lebih tersusun serta mengikut prosedur semasa.
Yuneswaran memaklumkan beliau telah membawa isu tersebut ke Dewan Rakyat sejak November 2024, selain mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah pada Disember tahun sama bagi memahami cabaran berkaitan tapak, infrastruktur dan keperluan jangka panjang.
"Usaha ini saya teruskan melalui sesi soal jawab bersama Kementerian Pendidikan Malaysia pada Ogos 2025, dan sekali lagi dalam Sesi Kamar Khas pada November 2025 bagi mendapatkan penjelasan serta hala tuju yang lebih jelas," katanya.
Terbaharu, beliau turut mengadakan pertemuan bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh di pejabat beliau dengan kehadiran wakil sekolah termasuk Guru Besar, Pengerusi Lembaga Pengelola serta Yang Dipertua PIBG.
Dalam pertemuan tersebut, beberapa perkara penting dibincangkan termasuk semakan status tanah cadangan, pematuhan proses melalui Pejabat Pendidikan Daerah Segamat dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, serta komitmen KPM untuk meninjau sendiri tapak cadangan.
"Syukur, ada sinar harapan," katanya.
Beliau menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan isu berkenaan sehingga selesai demi kepentingan pendidikan anak-anak di Segamat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Wong Kah Woh dan Kementerian Pendidikan atas kesediaan membantu mencari jalan penyelesaian terbaik.
"Selagi belum selesai, saya akan terus susuli. Segamat mesti terus dibela," katanya lagi.
