Terengganu mengikut perangkaan terbaharu memiliki sekitar 10,000 isi rumah dikategorikan sebagai miskin tegar yang menyebabkan negeri itu berada di tangga 5 terbawah sebagai negeri miskin di Malaysia.
Ketua Cabang KEADILAN Kuala Terengganu, Azan Ismail berkata kategori miskin pula meliputi lebih banyak isi rumah dan hal itu tidak mampu diselesaikan oleh pentadbiran Pas pada waktu ini.
"Kalau mengambil kira miskin di bawah pendapatan RM5,000 di Terengganu kita ada 30,000 ke 40,000 isi rumah. Ini adalah tumpuan yang diberi perhatian khusus oleh PMX yang berjanji dan berkomitmen bahawa sehingga 31 Disember tahun ini dia beriltizam untuk menghapuskan miskin tegar di negara ini termasuk Terengganu. Sifar miskin tegar dalam Terengganu.
"Bermakna kita nak keluarkan kelompok isi rumah miskin tegar ini, diusahakan supaya mereka tidak duduk dalam kategori itu lagi.
"Ini usaha yang mesti digembleng secara bersama. Sebab itu dari segi urusan pentadbiran, urusan kewangan dan ekonomi kita kena ada penyelarasan di peringkat negeri dan pusat. Kalau keadaan seperti sekarang, dengan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pas maka kita tahu ada banyak masalah yang mereka politikkan (tetapi tiada penyelesaian)," katanya dalam satu siaran media.
Oleh itu, menurut mantan ADUN Bandar itu, rakyat Terengganu tiada ada pilihan dalam Pilihan Raya Negeri bulan hadapan berhubung isu penyelesaian masalah kemiskinan.
Katanya, hanya Kerajaan Negeri dari parti yang sama dengan kerajaan pusat sahaja akan mampu menyelesaikan isu berkenaan dengan cekap lagi berkesan.
"Kita tidak ada pilihan. Di Terengganu kalau kita bersimpati atau kita beriltizam hapuskan miskin tegar, kita harus selaraskan pentadbiran itu dengan baik. Barulah pentabiran berjalan lancar dan tidak ada unsur unsur mempolitikan isu.
"Kita perlu lepaskan isi rumah miskin di Terengganu ini, cari jalan dan itu adalah tugas kita yang perlu ditunaikan," katanya lagi.
Comentários