Terbuka dengar pandangan, Kerajaan sedia teliti semula peluasan SST
- Suara Keadilan
- Jun 18
- 1 min read

Kerajaan Persekutuan bersedia meneliti semula peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekiranya terdapat kelompongan atau aduan berhubung pelaksanaannya yang memberi kesan kepada rakyat.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kerajaan komited mendengar dan mempertimbang setiap maklum balas secara telus dan terbuka.
"Saya tidak fikir kerajaan akan menutup ruang untuk meneliti semula dasar ini sekiranya ada segmen atau sektor tertentu yang memerlukan pertimbangan semula jadi kalau ada keperluan untuk ditambah baik, maka sewajarnya ia diteliti," katanya dipetik.
Peluasan skop SST bermula 1 Julai ini adalah bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal sambil melindungi golongan yang paling memerlukannya.
Ia hanya dikenakan terhadap barangan tertentu sebagaimana disenaraikan dalam warta kerajaan dengan jaminan bahawa barangan keperluan asas akan dikekalkan pada paras cukai sifar peratus.
Sementara itu Muhammad Kamil menyatakan keyakinannya bahawa keluhan yang dibangkitkan berhubung langkah tersebut akan dapat diselesaikan.
Dengan memberi contoh pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sebelum ini yang turut menerima reaksi awal yang bercampur-campur, namun ia tegasnya berjaya ditangani selepas pelaksanaan.
"Setiap dasar akan menimbulkan keluhan pada peringkat awal, itu perkara biasa. Tapi akhirnya, kerajaan akan pastikan ia diselaraskan supaya tidak membebankan majoriti rakyat," ujarnya.
Mengulas kebimbangan mengenai pengenaan cukai terhadap buah-buahan, beliau menegaskan bahawa SST hanya dikenakan terhadap buah-buahan import, bukan hasil tempatan.
"Memang ada keluhan daripada pemain industri tentang kekurangan bekalan buah-buahan tempatan untuk menampung permintaan pasaran. Ini akan diteliti oleh kerajaan.
"Namun, dasar asal tetap tidak mengenakan cukai terhadap barangan tempatan yang tidak diproses atau dikilangkan," tambahnya.
Comments