Rakyat Malaysia perlu diterapkan dengan konsep Minda Madani bagi mewujudkan satu aliran budaya berfikir yang lebih jenih dan bernas.
Bagi Presiden RAPAT Rakyat, Mustaffa Kamil Ayub, ideologi Malaysia Madani tidak akan berjaya dalam keadaan masyarakat Malaysia berkiblat kepada budaya TikTok, menonton beberapa saat dan mempercayai nilai yang ditonton.
Katanya, satu usaha bersepadu bagi mencapai Minda Madani perlu digerakkan kerajaan untuk memperbaiki kemamaian minda rakyat yang diserang propaganda murahan di media sosial pada waktu ini.
"Dalam hal hari ini, rakyat Malaysia perlukan anjakan paradigma, anjakan minda dan anjakan budaya yang perlu ada untuk kita menjayakan Malaysia Madani
"Minda Madani (yang perlu diwujudkan) termasuk (nilai) disiplin, setia, istiqamah, empati, berani kerana benar, sanggup menerima risiko, berdaya cipta, keratif dan inovatif.
"Hari ini rakyat tidak berapa nak berfikir. Tengok TikTok dua tiga saat cukup, dan itu diguna untuk buat keputusan. Kita kena bina minda yang serius di kalangan rakyat kalau kita mahu Malaysia Madani berjaya.
"Kita perlukan masyarakat yang berfikir," katanya dalam seminar anjuran Sekretariat Malaysia Madani Rakyat (SEMARAK) kelolaan Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT) di Kuala Lumpur, petang semalam.
Sehubungan itu, Mustaffa yang juga mantan Setiausaha Agung KEADILAN menyeru agar generasi muda mencontohi ketekunan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggagaskan Masyarakat Madani dan seterusnya menjadi Malaysia Madani sejak 1990an lagi.
Katanya, falsafah atau ideologi itu selama dua dekad sedikit demi sedikit dicerna, dibahas dan diperbaiki untuk kemudian pada 2022 dituang ke dalam buku 'Script : For A Better Malaysia' dan 'Membangun Negara MADANI: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi'.
Menurut beliau, falsafah Madani bukan sahaja untuk membawa idea besar penerapan nilai nilai Islam di dalam struktur pemerintahan tetapi juga mampu memulihkan negara yang telah gelonsor ke lembah korupsi serta kebejatan sejak beberapa dekad lalu.
"Malaysia Madani bukan mahu rebranding PMX tetapi membina semula maruah, integriti, tatakelola dan kegemilangan negara Malaysia itu sendiri.
"Malaysia Madani mengukuhkan semangat Perlembagaan negara dan Rukun Negara.
"Oleh yang demikian Malaysia Madani adalah kesinabungan ketamadunan manusia sejagat, sebab kita boleh hubungkan Malaysia Madani ini seantero dunia," katanya lagi.
Justeru, mantan Naib Presiden KEADILAN itu menyeru agar rakyat menganggap Malaysia Madani sebagai falsafah negara.
Hal itu, katanya, falsafah tersebut adalah kesinabungan nilai nilai mulia ketamadunan yang dibahaskan sejak era Aristotle, Socrates di Yunani, Syahifah Madinah, ketamadunan Andalusia dan boleh juga dibahaskan bersama nilai nilai baik yang dibawa mana mana agama besar dunia untuk mencipta kerangka masyarakat Malaysia berketamadunan tinggi.
Comments