
Tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 harus ditentukan segera dan tidak dijadikan teka teki yang menyebabkan ketidakstabilan politik negara berpanjangan.
Menurut Gabungan Pilihan Raya BERSIH dan Adil (BERSIH), Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu melaksanakan agenda transformasi politik bagi memastikan kestabilan dan akauntabiliti politik diutamakan di negara ini.
"Permainan teka tarikh PRU15 sedang menyakitkan negara. Bukan sahaja ketidaktentuan akan mempengaruhi keputusan dalam perkara ekonomi dan kehidupan rakyat tetapi juga mengalihkan perhatian menteri dalam urusan pentadbiran.
"Sekiranya PM tidak dapat menentukan bila memanggil pilihan raya awal, beliau secara asasnya perlu membentangkan pelan Pentadbiran dan Reformasi bagi baki penggal beliau sehingga 16 Julai 2023.
"Beliau perlu menunjukkan kepimpinan dan iltizam untuk menstabilkan politik Malaysia," kata BERSIH dalam satu kenyataan.
Menurut Jawatankuasa Pemandu BERSIHt, mereka yang baru baru ini menganjurkan persidangan “Gearing Up for GE15: What Reforms Do Voters Want” telah mendapat pelbagai pandangan pakar, ahli akademik dan msyarakat sivil bagi melaksanakan reformasi penting yang perlu dilakukan sebelum PRU 15.
Antara reformsi itu kata BERSIH, perserta mencadangkan agar kerajaan Melaksanakan Had Penggal Perdana Menteri selama 10 tahun; Memperkenalkan undi Tidak Percaya Secara Konstruktif; Memperkenalkan Penggal Tetap Parlimen; Pengasingan Pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya; Menggubal Akta Peruntukan Wakil Rakyat (CDF) di Peringkat Persekutuan dan Negeri; Pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Pilihan Raya; Memperluaskan Undi Tidak Hadir kepada Pengundi Luar Kawasan; Menambahbaik Proses Undi Pos bagi Pengundi di luar negara; Memperbaiki Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen; Mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen dan Memperkukuh kebebasan, keadilan dan perwakilan Yang di-Pertua dan Timbalannya.
Selain itu, BERSIH juga mencadangkan Peraturan Mesyuarat Parlimen dipinda bagi memperkasakan kedua-dua Ahli Parlimen Pembangkang dan Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan (backbenchers) untuk membolehkan RUU Persendirian Reformasi institusi diwujudkan. Juga mencadangkan agar Akta Pembiayaan Politik yang termasuk Pendanaan Awam kepada Parti Politik digubal.
"BERSIH maklum bahawa Ismail Sabri telah mengeluarkan kenyataan pada 19 Mei lalu Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah bersetuju secara prinsip untuk menggubal Undang-Undang Pembiayaan Politik, pelan komprehensif yang akan menginstitusikan prinsip tata kelola yang baik dan amalan seperti Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) di semua agensi kerajaan termasuk badan berkanun yang akan diperkenalkan, dan kajian pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
"Kami memuji kerelaan kerajaan Ismail Sabri mempertimbangkan kesemua reformasi ini dan melaksanakan apa yang telah dipersetujui dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik (bersama Pakatan Harapan)," kata NGO itu lagi.
Namun begitu, tegas BERSIH, PM tetap perlu mengembalikan keyakinan rakyat kepada proses politik dan pilihan raya. Sudah sampai masanya, kata BERSIH, PM mengembalikan keyakinan rakyat kepada proses politik dan pilihan raya, satu sasaran yang perlu disokong oleh semua parti termasuk di barisan kerajaan dan Pembangkang.
BERSIH juga menyeru agar semua parti dan Ahli Parlimen, termasuk parti PM sendiri iaitu Umno, untuk memberikan sokongan kepada agenda reformasi juga kerajaan memulakan proses perundingan dengan semua pihak berkepentingan untuk mendapatkan sokongan mereka.