Pemilik aplikasi Telegram menyatakan kesediaan pihaknya untuk berkerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkemas aspek kawal selia, terutama untuk membanteras aktiviti scam dan judi dalam talian di platform berkenaan.
Hal itu dinyatakan oleh pengasas dan pemilik Telegram, Pavel Durov sewaktu beliau bertemu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu, semalam.
"Perbincangan kami amat positif dan banyak fokus diberikan kepada perkara berkaitan kerangka kawal selia platform itu dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
"Pavel menyatakan minat untuk mengadakan perbincangan lanjut tentang beberapa peluang kerjasama dengan Kerajaan Malaysia, selain memberi komitmen dan bersedia untuk melebarkan sayap operasi ke Malaysia pada masa akan datang," katanya.
Untuk perbincangan lanjut, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga menjemput Pavel untuk melakukan lawatan kerja ke Malaysia dan menemui pihak kerajaan dan industri yang terbabit.
"Saya juga telah menjemput beliau untuk datang ke Malaysia bagi meneruskan perbincangan dengan semua pihak berkaitan," katanya lagi.
コメント