Pertemuan yang diadakan di antara pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Salim Fateh Din bersama-sama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dengan wakil aplikasi permesejan Telegram di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman semalam membuahkan hasil positif.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil yang mempengerusikan pertemuan itu berkata dalam mesyuarat selama satu jam itu wakil Telegram akur terhadap undang undang Malaysia dan akan memperbaiki tahap pematuhan peraturan berhubung pengguna aplikasi mereka.
"Saya telah menegaskan bahawa terlalu banyak kes jenayah seperti penipuan pelaburan palsu, pedofilia, pornografi dan jenayah dalam talian lain berlaku di Telegram.
"Kami juga telah menyampaikan pandangan tegas berhubung peri penting pihak Telegram atau mana-mana aplikasi pemesejan atau media sosial untuk sentiasa akur dan patuh kepada undang-undang Malaysia.
"Pihak Telegram menyatakan komitmen dan bersedia menjalinkan hubungan kerja yang lebih erat dengan SKMM dan PDRM.
"Saya mengalu-alukan kerjasama dengan Telegram untuk membendung jenayah yang berlaku di aplikasi berkenaan," kata Fahmi dalam satu kenyatan.
Tambah beliau, sejak Januari 2020 hingga Mei 2023 jumlah kerugian yang ditanggung oleh rakyat Malaysia akibat pelbagai aktiviti penipuan menerusi Telegram mencecah RM45 juta.
Telegram, katanya, tidak boleh membiarkan perkhidmatan yang ditawarkan mereka sebagai tempat berlakunya jenayah.
"Kerajaan tidak akan berdiam diri dan membenarkan penjenayah berselindung di sebalik identiti palsu.
"Insya-Allah, pertemuan hari ini adalah permulaan yang baik dalam kerjasama rentas agensi bagi memastikan Telegram akan lebih selamat untuk digunakan," kata Fahmi lagi.
Commenti