Telco bangunkan rangkaian jalur lebar di jajaran rel kereta api
- Suara Keadilan
- Apr 19
- 2 min read

Syarikat telekomunikasi (telco) kini berpeluang meningkatkan liputannya apabila dibenarkan menggunakan jajaran rel kereta api di seluruh negara bagi menyediakan rangkaian fiber optiknya.
Inisiatif liberalisasi pembangunan infrastruktur telekomunikasi di sepanjang laluan rel milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu dilaksanakan bagi menyokong agenda transformasi digital negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata keputusan itu dipersetujui menerusi satu memorandum dibawanya kepada Jemaah Menteri sebelum ini.
"Kerajaan yakin dengan membuka akses kepada lebih ramai penyedia perkhidmatan melalui koridor rel ini, ia akan meningkatkan persaingan sihat, memperluas liputan digital dan mengurangkan kos kepada rakyat, ini bukan sahaja soal infrastruktur," katanya dipetik pada Majlis Apresiasi dan Hari Terbuka RAC 2025, di Putrajaya semalam.
Loke berkata akses yang diberikan kepada telco berlesen melalui proses Permintaan Cadangan (RFP) itu dapat memanfaatkan penggunaan aset rel nasional bagi pembangunan rangkaian fiber optik berkelajuan tinggi.
Untuk itu, syarikat YTL Communications Sdn. Bhd. diumumkan sebagai syarikat pertama berjaya memenangi proses RFP yang dikeluarkan oleh RAC pada 2023 untuk membina infrastruktur fiber optik di sepanjang jajaran rel dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru dan Tumpat, Kelantan dengan Jarak sejauh 1,600 kilometer.
Loke dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Bagi Pembangunan Rangkaian Fiber Optik antara Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Sdn. Bhd. Wing K. Le.
Turut hadir Pengarah Urusan YTL Communications Sdn. Bhd, Datuk Seri Yeoh Seok Hong dan Pengarah YTL Sdn Bhd, Yeoh Keong Ren.
"Sebelum ini, FiberRail Sdn Bhd merupakan syarikat yang diberikan hak eksklusif untuk memasang fiberoptik di semua laluan-laluan landasan kereta api.
"Dengan adanya satu keputusan dasar untuk merealisasikan waylift ini, maka syarikat-syarikat lain boleh dibenarkan untuk menggunakan laluan kereta api kita untuk memasang fiberoptik," kata Loke kepada pemberita selepas majlis itu.
Dalam pada itu, RAC dalam kenyataan berkata inisiatif liberalisasi tersebut tidak menjejaskanbhak eksklusif yang dipegang oleh Fiberail menerusi perjanjian bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang berkuat kuasa sehingga 2032.
"Semua pembangunan baharu dilakukan melalui rundingan teknikal bersama, tanpa gangguan kepada infrastruktur sedia ada. RAC komited untuk memastikan pelaksanaan ini mematuhi perjanjian yang telah ditandatangani, dan dalam masa sama membuka pasaran secara lebih telus dan inklusif," katanya.
Comentarios