top of page

Jejak SejaTi MADANI: Rintis Tanam Nanas MD2, Jana Pendapatan Komuniti

  • Writer: Noraini Nordin
    Noraini Nordin
  • 1 hour ago
  • 3 min read
Hasilan nanas MD2 dari ladang. Mohd Sopian (kiri) dibantu oleh anaknya Ahmad Alif mengurus kebun nanas
Hasilan nanas MD2 dari ladang. Mohd Sopian (kiri) dibantu oleh anaknya Ahmad Alif mengurus kebun nanas

ULASAN: "Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya". Maksudnya ialah seseorang itu tidak akan mencapai cita-cita sekiranya tidak mahu berusaha atau bekerja keras.

Peribahasa tersebut amat bertepatan dengan usaha yang dilakukan oleh sekumpulan anak-anak jati Kampung Jimah Baru, Negeri Sembilan yang kini berjaya dalam penghasilan tanaman nanas MD2 bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).


Peluang untuk meningkatkan taraf hidup komuniti tidak dipersia-siakan di bawah Program Komuniti MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa ucapan Belanjawan 2024 .


SejaTi MADANI merupakan inisiatif kerajaan untuk merancakkan aktiviti sosioekonomi sekali gus meningkatkan pendapatan komuniti setempat di seluruh negara, menerusi pemberian geran sehingga RM100 ribu kepada komuniti yang layak.


Projek SejaTi MADANI memberi tumpuan kepada lima sektor iaitu Pertanian dan Makanan, Jahitan dan Kraf Tangan, Herba dan Kesihatan, Pelancongan dan Hospitaliti serta Aktiviti Hijau dan Kitar Semula.


Nanas MD2 tanaman tahan lasak, hasil lumayan


Menyusuri Jejak SejaTi MADANI, penulis meninjau tanaman Nanas MD2 yang telah diusahakan oleh Pengerusi Majlis Komuniti Kampung (MPKK) Mohd Sopian Ahmad bersama komuniti desa sejak lebih 15 bulan lalu.


Mohd Sopian memilih varieti Nanas MD2 kerana ia adalah tanaman kontan yang tahan kemarau, tidak perlu kerap disiram cukup dengan air hujan atau embun.


Selain itu menurut Mohd Sopian, tanaman nanas juga mudah dijaga dan tahan lasak.


Hasilan pertama


Jelasnya, paling menguntungkan, pokok nanas yang dijaga rapi boleh berbuah semula selepas hasilan pertama dengan membiarkan anak pokok tumbuh menjadikan pelaburan benih yang lebih berbaloi.

Penulis (tengah) bersama Sopian (kiri) dan hasil nanas MD2 yang dipetik
Penulis (tengah) bersama Sopian (kiri) dan hasil nanas MD2 yang dipetik

Bagi pengemar nanas, jenis MD2 adalah sangat dicari kerana isinya kuning keemasan, rasa manis yang sempurna, kandungan vitamin C tinggi serta tidak menyebabkan lidah berasa pedih.


Selain itu tanaman ini juga menawarkan potensi keuntungan berbaloi melalui permintaan pasaran tempatan dan eksport yang tinggi terutama kerana manis dan tahan lama.


Panorama menghijau


Projek SejaTi MADANI yang dirintis oleh Mohd Sopian telah membangkitkan aura yang menyegarkan serta panorama yang menghijau di Kampung Jimah Baru.


Tanaman nanas MD2 tersebut melibatkan keluasan lebih enam ekar tanah penduduk kampung.


Setiap satu ekar tanah boleh ditanam kira-kira 15 ribu pokok nanas yang sekali gus menjadikan Jimah Baru kini sebagai pengeluar nanas MD2 yang utama di daerah Port Dickson, Negeri Sembilan.


Selain itu Mohd Sopian juga menanam nanas dari jenis yang sama mengggunakan polibag.


"Pada awalnya saya juga ada kegusaran untuk memulakan projek tanaman nanas ini kerana tiada ilmu dan pengalaman.


"Namun setelah diberi bimbingan dan menyertai kursus berkaitan tanaman nanas MD2, saya yakin dapat melaksanakannya. Sokongan padu daripada kawan-kawan terutama komuniti kampung menyuntik semangat untuk mengusahakan projek ini hingga berjaya. Alhamdulilah sejak awal puasa buah nanas sudah mula dapat dijual," kata Mohd Sopian, 58 tahun.


Menurut Sopian lagi, sehingga kini lebih 500 kilogram buah nanas tersebut dijual melalui promosi di laman media sosial serta jualan rahmah.


Sedia kongsi pengalaman


"Buat masa ini kami menjual secara runcit walaupun ada juga peraih yang mahu memborong nanas secara pembelian pukal.


"Bagi memastikan kelancaran urusan pengutipan hasil serta pemasaran, Mohd Sopian dibantu oleh anaknya, Ahmad Alifh, 28 tahun yang juga menetap di kampung tersebut.

Nanas MD2 boleh ditanam dalam polibag bagi yang tidak mempunyai banyak kawasan
Nanas MD2 boleh ditanam dalam polibag bagi yang tidak mempunyai banyak kawasan

Mohd Sopian tidak keberatan untuk memberi khidmat nasihat kepada komuniti yang berminat untuk mengusahakan tanaman Nanas MD2.


"Terima kasih Kerajaan MADANI yang sentiasa membantu komuniti menambah pendapatan.


"Saya sendiri sedia memberi bimbingan kepada penduduk desa yang berminat dengan tanaman ini. Asalkan gigih serta rajin. Pasti membuahkan hasil," jelas beliau yang tidak jemu berkongsi ilmu dengan sesiapa yang berminat dalam bidang pertanian.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page