top of page

Komitmen kerajaan tangani isu tanah kuil Hindu dihargai - Dr Gunaraj

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Chang Ming Kai (kiri sekali), Dr Gunaraj (berbaju batik) dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri
Chang Ming Kai (kiri sekali), Dr Gunaraj (berbaju batik) dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pejabat Perdana Menteri Malaysia atas kesediaan mengadakan sesi perbincangan serta libat urus berhubung isu tanah kuil Hindu.


Menurut beliau, pertemuan yang berlangsung di Putrajaya kelmarin bersama Chan Ming Kai, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, mencerminkan komitmen serta keterbukaan kerajaan dalam mendengar pandangan dan kebimbangan masyarakat Hindu.


"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri serta Pejabat Perdana Menteri atas kesudian mengadakan sesi perbincangan dan libat urus berhubung isu berkaitan tanah kuil Hindu.


"Pertemuan ini mencerminkan komitmen dan keterbukaan pihak kerajaan dalam mendengar pandangan serta kebimbangan masyarakat Hindu, di samping mencari penyelesaian yang praktikal dan harmoni," katanya dalam satu kenyataan.


Dr Gunaraj yang juga Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat kepada Datuk Menteri Besar Selangor menzahirkan penghargaan kepada PM dan pasukannya atas perhatian serta kesediaan melibatkan diri secara langsung dalam usaha mencari penyelesaian terhadap isu yang telah lama berlarutan itu.


Beliau yakin bahawa melalui prosedur serta libat urus berterusan, selain kerjasama dengan National Hindu Temples Steering Committee (NHTSC), isu tanah kuil yang berlarutan selama bertahun-tahun dapat diselesaikan secara teratur, adil dan harmoni demi kepentingan semua pihak.


"Saya yakin melalui prosedur serta libat urus seperti ini, serta kerjasama bersama Jawatankuasa Pemandu Kuil-Kuil Hindu Kebangsaan, isu tanah kuil yang telah berlanjutan selama bertahun-tahun dapat diselesaikan secara teratur, adil dan harmoni demi kepentingan semua pihak," katanya.


Pada masa sama, beliau berharap agar perbincangan serta cadangan yang telah dikemukakan dapat dipertimbangkan secara serius sebagai sebahagian daripada usaha menyelesaikan isu tersebut secara tersusun dan inklusif.


Dr Gunaraj turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha yang memperkukuhkan keharmonian, persefahaman serta kerjasama konstruktif demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page