TEKUN tawar moratorium 6 bulan, ringankan beban mangsa banjir
- Suara Keadilan
- 7 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menawarkan moratorium sehingga enam bulan kepada usahawan yang terjejas akibat banjir bagi meringankan beban mereka.
Pengerusi TEKUN, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (gambar) berkata, langkah itu meliputi usahawan yang mengalami kerosakan premis perniagaan, kediaman atau stok barangan.
Selain moratorium jelasnya, usahawan juga dibenarkan mengeluarkan sebahagian simpanan daripada akaun pembiayaan, membuat penjadualan semula hutang serta memohon pembiayaan bertindih untuk memulakan semula operasi.
"Bagi usahawan TEKUN yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan, mereka boleh memohon pembiayaan bertindih untuk memulakan semula perniagaan terjejas," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu menurut Abdullah Sani, permohonan boleh dibuat dalam tempoh tiga bulan selepas banjir.
Mereka juga boleh mengemukakan permohonan di semua pejabat TEKUN cawangan dengan menyertakan dua gambar premis perniagaan atau rumah terbabit bencana serta mendapatkan pengesahan pegawai di cawangan berdekatan berkaitan bencana banjir.
"TEKUN Nasional terus komited membantu usahawan mikro bukan sahaja dengan pembiayaan, malah dalam pembangunan keusahawanan," tambahnya.