top of page

TEKUN galak produk usahawan luar bandar masuk rangkaian pelancongan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 5
  • 1 min read
ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) giat mengambil langkah memperkasakan usahawan tempatan dalam usaha membuka ruang kepada produk-produk dihasilkan mereka untuk menembusi pasaran pelancongan.


Menurut Pengerusi TEKUN, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (gambar), beliau telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa tanah rancangan FELDA, FELCRA dan pulau Langkawi yang dijangka menjadi antara lokasi utama dalam inisiatif TEKUN menjelang TMM2026.


"Kita akan bertemu 416 usahawan muda di seluruh Langkawi bulan depan untuk kenal pasti produk berpotensi.


"TEKUN juga sedang melaksanakan Fasa 2 pengembangan pembiayaan yang menyasarkan komuniti FELDA, FELCRA dan kampung-kampung.


"Melalui program seperti Teman TEKUN, usahawan diberi bimbingan dari segi pembiayaan, penghasilan produk, serta strategi pasaran eksport.


"Fasa 2 ini sangat penting untuk pastikan produk-produk unik luar bandar dapat masuk ke rangkaian pelancongan nasional. Kita tak mahu mereka ketinggalan dalam gelombang TMM2026," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.


Menurut beliau, usahawan Bumiputera akan terus menjadi tumpuan dengan objektif memastikan penyertaan inklusif dalam sektor pelancongan yang bakal berkembang pesat.


Ujarnya, TEKUN kini sedang menggiatkan pelbagai sesi pertemuan, latihan, dan promosi rentas platform untuk mengenal pasti usahawan berpotensi tinggi yang mampu menghasilkan produk berskala eksport menjelang 2026.


"Beberapa perkara yang perlu dan sedang saya lakukan untuk memastikan bahawa tiada yang ketinggalan khususnya anak bumiputera, orang Melayu ini diberikan tumpuan dan perhatian.


"Kita nak kembangkan perniagaan mereka dengan cara yang lebih besar dan lebih luas," kata Abdullah Sani lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page