top of page

Teknologi maklumat boleh diguna di ladang durian, sawit tingkatkan hasil

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
16 hours ago
2 min read
Datuk Seri Fahmi dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV sempena pasca Belanjawan 2027
Datuk Seri Fahmi dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV sempena pasca Belanjawan 2027

Teknologi telekomunikasi khususnya rangkaian 5G dan Internet Pelbagai Benda (IoT) yang ditumpukan pelaksanaannya dalam Belanjawan 2027 berpotensi meningkatkan kecekapan sektor pertanian menerusi penggunaan teknologi pintar bagi memantau hasil tanaman serta mengurus operasi ladang, termasuk ladang kelapa sawit.


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penggunaan teknologi berkenaan membolehkan pengusaha pertanian memantau perkembangan tanaman dan mengesan hasil yang sedia dituai dengan lebih pantas, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah konvensional.


Beliau memberikan contoh penggunaan cip atau alat pengesan pada buah durian yang sedang membesar merupakan teknologi terbaharu yang boleh dilakukan oleh syarikat telekomunikasi (telco) bagi membolehkan pemilik dusun menerima isyarat pada telefon bimbit apabila buah berkenaan gugur.


"Antara contoh yang dimaklumkan kepada saya oleh salah satu syarikat telco ialah mereka boleh memasang alat pada setiap buah durian yang sedang membesar.


"Sekiranya buah itu sudah masak dan gugur, isyarat akan sampai kepada telefon bimbit tuan punya dusun. Dengan pantas, buah itu boleh dikesan dan diambil untuk dijual. Kerja-kerja di ladang ini akan menjadi lebih efisien," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu bagi program Ruang Bicara terbitan Bernama TV sempena pasca Belanjawan 2027 yang disiarkan secara langsung malam tadi.


Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan, teknologi 5G juga berpotensi dimanfaatkan dalam pengurusan ladang kelapa sawit, termasuk menerusi penggunaan robotik bagi meningkatkan produktiviti dan memudahkan pemantauan keadaan tanaman.


Bagaimanapun ujarnya, antara cabaran utama untuk memperluas penggunaan teknologi telekomunikasi di ladang kelapa sawit ialah kesukaran isyarat menembusi kawasan yang dilitupi pelepah pokok yang rendah.


"Masalah kita dengan banyak ladang sawit ialah pelepah-pelepah yang begitu rendah ini sebenarnya menghalang isyarat daripada menembusi kawasan berkenaan.


"Sekiranya peladang ingin berkomunikasi dengan sesiapa di luar, perkara itu sangat sukar kerana selama ini syarikat telekomunikasi melihat ladang sawit bukan sebagai kawasan yang diberikan keutamaan untuk mendapatkan akses internet.


"Tapi dengan pemahaman yang lebih mendalam mengenai manfaat 5G terutamanya di ladang sawit, maka ada teknologi baharu yang boleh dimanfaatkan supaya mereka yang bekerja di ladang termasuk ladang sawit boleh menggunakan robotik (pada masa sama) boleh melihat kualiti tanah baja yang diletakkan," ujarnya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page