top of page

Teknologi bantu, bukan ganti manusia dalam sektor kesihatan - Dr Wan Azizah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 days ago
  • 1 min read

Kemajuan teknologi perlu dilihat sebagai alat sokongan yang mampu membantu mempercepatkan rawatan, meningkatkan ketepatan serta meringankan beban pesakit dan petugas kesihatan.


Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) menegaskan, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan namun tidak akan menggantikan peranan manusia dalam sektor kesihatan.


Jelasnya, penggunaan teknologi robotik dalam pembedahan memberi manfaat langsung kepada pesakit melalui prosedur yang lebih selamat dan berkesan, selain membuka ruang kepada latihan serta peningkatan kemahiran dalam kalangan tenaga perubatan.


"Teknologi semakin berkembang pesat, keperluan terhadap kepakaran dan sentuhan manusia tetap tidak boleh digantikan.


"Teknologi bukan pengganti manusia. Ia hanyalah mesin yang membantu. Teknologi boleh memudahkan urusan, termasuk dalam rawatan dan kehidupan seharian," katanya dipetik.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ditemui pemberita selepas merasmikan Program Ulang Tahun 1.0 Pembedahan Robotik di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Rabu.


Dr Wan Azizah sementara itu memuji pencapaian PPUM yang menjadi perintis dalam pembedahan robotik bagi rawatan kanser payudara di Malaysia, selain mengintegrasikan teknologi Extended Reality (XR) berasaskan 5G dalam latihan perubatan.


Menurutnya, perkembangan itu membuktikan keupayaan institusi tempatan bukan sahaja sebagai pengguna teknologi, tetapi juga sebagai peneraju inovasi kesihatan di peringkat serantau.


"Dalam konteks pembangunan sektor kesihatan negara, peruntukan besar yang disediakan kerajaan termasuk bagi peningkatan liputan digital akan terus menyokong usaha ke arah sistem kesihatan yang lebih moden dan inklusif," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page