top of page

Tekad Jamawi: Bangunkan hab pertanian, pendidikan di Melalap

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 23
  • 4 min read

Datuk Jamawi menaruh keyakinan pengundi DUN Merotai boleh melakukan perubahan dalam PRN kali ini
Datuk Jamawi menaruh keyakinan pengundi DUN Merotai boleh melakukan perubahan dalam PRN kali ini

Oleh: Helmi Mohd Foad


Sebelum ini Datuk Jamawi Jaafar, 51, sering muncul di media sosial dengan menampilkan usaha giatnya membantu penduduk setempat membangunkan bidang pertanian di Tenom.


Kegiatan itu membuatkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong itu tidak asing lagi dengan penduduk khususnya di Melalap.


Justeru itu, apabila beliau dicalonkan bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N42, Melalap dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, Jamawi dilihat mampu berperanan memajukan kawasan pertanian di Sabah itu sekiranya memenangi kerusi DUN berkenaan.


Ikuti temubual Suara Keadilan bersama beliau bagi menjelaskan tentang visinya dalam pilihan raya umum negeri kali ini.


SK: Setelah seminggu berjalan kempen sejak 15 November lepas, bagaimana saudara melihat sambutan masyarakat setempat dan harapan yang mereka mahukan?


Jamawi: Alhamdulillah, memasuki hari keenam selepas penamaan calon, penerimaan masyarakat begitu baik sekali. Setiap hari kita melakukan kira-kira tujuh hingga lapan program jelajah ke kampung-kampung di kawasan Dewan Undangan Sabah (DUN) Melalap.


Penerimaan ahli-ahli di peringkat bawah sama ada ahli parti dan anggota komponen BN dan juga GRS telah datang beramai-ramai dalam setiap program yang telah disusun atur.


Harapan mereka agar ada wakil rakyat baharu yang mereka kenal sejak sekian lama dan boleh membawa perubahan di dalam pembangunan di kawasan masing-masing.


Aktifkan program pertanian bersesuaian


SK: Berdasarkan pengalaman saudara apa tawaran yang boleh diberikan penduduk di kawasan DUN Melalap dalam membangunkan bidang ekonomi, pendidikan dan sosial setempat?


Jamawi: Hasil daripada pengalaman saya, tawaran yang boleh diberikan adalah untuk kita mengaktifkan program-program ekonomi berdasarkan kepada keadaan sosio-ekonomi dan juga penghasilan yang ada di kawasan Melalap.

Datuk Jamawi (kanan) hadiri majlis pengurniaan geran tanah kepada peneroka di Merotai
Datuk Jamawi (kanan) hadiri majlis pengurniaan geran tanah kepada peneroka di Merotai

Melalap adalah daerah pertanian dan kita akan mengaktifkan program pertanian sesuai dengan manifesto saya iaitu mewujudkan hab penyelidikan dan pendidikan di kawasan Lagud Sebrang [kawasan Taman Pertanian Sabah].


Kita juga akan buat program-program bersesuaian dengan ketua-ketua isi rumah atau kita membekalkan bahan-bahan tanaman yang berkualiti tinggi untuk masyarakat kita tanam dan keduanya pendidikan, kita ingin mencadangkan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) supaya membuka kampus fakulti pertanian di kawasan Lagud Sebrang.


Begitu juga untuk pengajian tinggi, kita cadangkan supaya tanah rizab yang disediakan oleh pihak kerajaan di pekan Melalap dapat diguna pakai untuk mewujudkan pusat matrikulasi untuk negeri Sabah.


Tanah sudah tersedia ada dan ia akan dapat meningkatkan ekonomi setempat sekiranya berjaya diwujudkan. Dari segi sosial, kita minta dan cuba berusaha mendekatkan anak-anak muda dan belia termasuk wanita muda supaya mereka akan kita arahkan kepada kegiatan-kegiatan ekonomi yang bersesuaian.


Manifesto lapan teras, tangani masalah jalan, air


SK: Sepanjang kempen, apakah perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam kawasan DUN Melalap? Boleh jelaskan secara ringkas manifesto di DUN ini sekiranya PH menang di kawasan ini.


Jamawi: Sepanjang kempen kita lihat banyak aduan berkenaan dengan infrastruktur jalan raya. Jalan yang berlubang, jalan runtuh, jalan masih tanah merah dan begitu juga jalan di bawah kawal selia pihak konsesi di Sabah.

Datuk Jamawi tidak kekok bergaul dan bertanya masalah penduduk DUN Merotai
Datuk Jamawi tidak kekok bergaul dan bertanya masalah penduduk DUN Merotai

Jadi kita amat-amat berterima kasih kepada semua cadangan-daripada pihak penduduk kampung terhadap keperluan-keperluan tersebut.


Begitu juga berkenaan masalah bekalan air di kebanyakan kampung yang kita lawat seperti di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Saga.


Sebanyak 90% daripada mereka tidak mempunyai bekalan air bersih dan hanya bergantung kepada paip graviti, jadi inilah cabaran kita sekiranya kita menang mungkin banyak masa untuk kita berbincang dengan masyarakat kampung bagaimana untuk bantu mereka.


Manifesto kita ada lapan teras. Pertamanya pertanian berpenghasilan tinggi. Keduanya pendidikan, wujudkan institusi pengajian tinggi sama ada kampus UMS ataupun pusat pengajian matrikulasi.


Ketiga membina model insan, kita memberikan kursus-kursus teknologi TVET kepada anak-anak muda.


Tubuh Yayasan Melalap demi pendidikan anak muda


Keempatnya penubuhan Yayasan Melalap. Ia bukan perkara baharu tapi program-program kebajikan yang selama ini kita buat akan lebih terurus sekiranya dilakukan di bawah Yayasan Melalap.


Di bawah yayasan ini, ada sektor pendidikan di mana anak-anak Melalap yang ingin melanjutkan pelajaran, kita beri bantuan, begitu juga dengan van khidmat masyarakat yang kita akan perkasakan cara pengurusan. Kita akan bekerjasama dengan Pertubuhan Sukarelawan Cina Sabah.


Kelimanya mempercepatkan pembangunan pekan Melalap dengan bekerjasama syarikat berkaitan kerajaan supaya kos sewa ataupun kos jualan itu agak murah dan layak untuk dibeli ataupun disewa oleh penduduk setempat.


Ketujuh ialah jalinan infrastruktur, kita perlu satu jalinan jalan raya baharu menghubungkan Membakut ke Melalap dan kelapan membina usahawan-usahawan baharu.


SK: Apakah bentuk program yang ingin diutamakan sekiranya saudara berjaya dipilih sebagai wakil rakyat baharu?


Jamawi: Program yang perlu saya utamakan adalah program berbudi kepada tanah di mana kita akan membekalkan bahan-bahan tanaman kepada ketua-ketua isi rumah seperti pokok durian, nangka madu atau kelapa tacunan yang boleh mereka menanam di keliling rumah.


Apabila ada hasil nanti kita cuba memperkasakan pusat pengumpulan dan pembelian hasil-hasil pertanian supaya mereka dapat masuk ke kawasan-kawasan tersebut dan membeli secara pukal dengan tawaran harga lebih tinggi berbanding orang tengah yang sedia ada di Tenom ini.


SK: Bagaimana jentera PH menyakinkan tentang kepentingan untuk mengundi PH pada kali ini selain sinergi yang dilakukan untuk menarik undi melalui kerjasama BN/GRS sebagai rakan kerjasama?


Jamawi: Kita masuk ke gelanggang sebagai parti yang memerintah dan jentera telah digerakkan secara begitu aktif dan daripada segi penerimaan pada setiap program-program amat baik sekali dan kita yakin boleh memenangi pilihan raya pada kali ini


Begitu juga dengan sambutan anak-anak muda, kita menggunakan platform media sosial, TikTok dan Facebook.


Kita cuba meluangkan masa setiap pukul 8 atau 9 malam bagi berkomunikasi dan berbincang dengan anak-anak muda di kawasan Melalap dan Tenom supaya mereka memahami perjuangan kita.


Di peringkat awal banyak yang buat hantaran ataupun komen negatif tetapi sejak sudah lima hari lalu kebanyakan posting atau soalan-soalan mereka lebih ilmiah dan mereka lebih tertarik bertanyakan berkenaan misi dan visi apabila saya menang pilihan raya pada kali ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page